Tuesday, April 7, 2009

Tanam serai di tanah terbiar

Sumber : AgroBiz Utusan Online. ARKIB : 27/03/2009

Tanam serai di tanah terbiar

Oleh AZMI ABDUL MALEK

MASALAH tanah lot terbiar yang masih belum didirikan rumah sering menjadi perbincangan hangat penduduk Bukit Meru, Taman Meru, Ipoh, Perak sejak lebih 20 tahun lalu.

Tanah terbiar ini dikatakan menjadi sarang binatang berbisa termasuk ular tedung yang kadangkala masuk ke dalam rumah penghuni di situ.

Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sering dipersalahkan apabila kakitangannya gagal memantau atau membersihkan sendiri semak-samun tanah terbiar berkenaan.

Bagaimanapun masalah ini dapat diselesaikan dengan praktikal apabila bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Mahfuz Omardi, 59, mengambil inisiatif menanam serai di tapak tanah terbiar terbabit.

Pada mulanya dia membersihkan tanah jirannya di hadapan rumahnya dan menanam serai untuk mengisi masa lapang.

Usaha itu tidak memerlukan kos yang tinggi kerana tanahnya yang sesuai, subur dan berlereng sesuai menangkis hujan lebat.

Hasil serai dijual kepada peniaga restoran tempatan dan pasar borong dengan harga antara RM1.80 dan RM2.00 sekilo.

Kini beliau berjaya menanam serai seluas 0.4 hektar di atas lapan lot tanah perumahan di Bukit Meru.

''Saya bercadang mengambil 12 lot kosong lagi untuk dimajukan setelah berjaya mendapat kebenaran daripada tuan tanah, " katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, beliau yang sudah bersara selepas bekerja di sektor awam selama 37 tahun berkata, pada pertengahan tahun lalu beliau memberitahu jiran yang tinggal di luar kawasan itu supaya membenarkan beliau membersihkan tanah mereka untuk tanaman serai tanpa dikenakan sewa.

Katanya, langkah itu mengurangkan belanja tuan tanah yang terpaksa mengupah buruh memotong rumput setiap bulan sekali gus menyenangkan kerja kakitangan MBI.

Menurutnya, cadangan itu dipersetujui tuan tanah dan beliau memulakan kerja membersihkan tanah, menanam dan membaja serai.

Ternyata usaha berjaya dan berbaloi lalu beliau melebarkannya ke tanah lot lain yang masih kosong.

Setelah mendapat khidmat nasihat rakan-rakan, beliau pergi ke Pejabat Tanah Daerah Kinta untuk mengenalpasti tuan tanah.

Hasil penyelidikan itu beliau menemui pemilik sebenar dan mereka bersetuju menyerahkan tanah untuk dimajukan dengan tanaman serai.

''Saya berjanji akan mengembalikan semula tanah terbabit sekiranya tuannya mahu mendirikan rumah pada bila-bila masa," katanya.

Setakat ini beliau berpuas hati dengan usahanya membantu penduduk tempatan dan MBI menangani masalah tanah terbiar di Taman Meru.

Selain berusaha beliau juga dapat berbakti kepada masyarakat tempatan dalam usia persaraan.

Sehubungan itu tuan tanah yang mahu menyerahkan tanah kepadanya untuk dimajukan dengan tanaman serai menghubunginya melalui talian telefon 013-4232684.

Tanam serai secara kontrak

Sumber : AgroBiz Utusan Online

TANAMAN herba semakin mendapat sambutan sementalah produk herba kini menjadi rebutan bukan saja di pasaran tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Justeru, Abdul Jabar Hashim, 47, menuruti saranan abangnya yang bertugas di Kuala Lumpur supaya menanam serai paha ayam secara tanaman kontrak.

Tanaman serai yang ditanam seluas 1.2 hektar ekar ini di Kampung Sekandar, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang ini menampakkan hasil yang membanggakan.

''Saya memilih serai kerana tanaman ini amat mudah ditanam dan diuruskan berbanding dengan tanaman lain kerana tidak mudah diserang penyakit atau serangga perosak," katanya.

Beliau yang mendapat bekalan benih dari agen penanaman kontrak dari Selangor yang menggunakan serai sebagai ramuan utama dalam produk farmaseutikal dan dieksport ke pasaran antarabangsa.

Abdul Jabar berkata, serai mudah ditanam tetapi memerlukan kawasan tanah gembur bagi pergerakan akar dan tumbesarannya.

"Sebelum mula menanam serai, tanah perlu dibajak dan dirawat bagi meningkatkan kesuburannya dengan menabur baja urea.

"Biasanya bagi kawasan seluas satu ekar (0.4 hektar) , ia memakan masa dua hari untuk menggemburkan dan menanam serai oleh seorang pekerja," katanya.

Bagi kawasan seluas satu ekar, Abdul Jabar memerlukan 21,000 rumpun serai kerana satu lubang ditanam dengan lima batang serai.

Beliau berkata, biasanya serai boleh mula dituai selepas enam bulan ditanam dan satu rumpun akan mengeluarkan antara empat hingga 10 kilogram (kg) bergantung kepada penjagaan dan pengurusan.

Bagaimanapun penjagaan serai boleh dikatakan mudah kerana hanya perlu diberikan baja urea selepas dua minggu pertama.

"Kemudian pembajaan akan dilakukan lagi selepas 30 hari dan 50 hari selepas penanaman," katanya.

Selepas ditanam pokok serai hanya perlu disiram setiap petang tanpa perlu menyembur racun makhluk perosak.

''Tetapi masalah timbul apabila hari hujan kerana rumput dan rumpai akan bersaing untuk mendapatkan baja.

''Hujan yang lebat dan air bertakung akan menyebabkan akarnya terendam dan pokok akan mati," katanya yang membina pagar di sekeliling tanaman serai bagi mengelakkan pencerobohan haiwan liar.

Friday, February 20, 2009

Tanaman serai kini dikomersial

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Rencana/20090220094958/Article/index_html
Serbuk, minyak dari ekstrak spesies herba kaya khasiat perubatan berpotensi dieksport ke seluruh dunia

MOHD ALWI menunjukkan ladang serai seluas 300 hektar yang dipajak daripada syarikat Tradewind Bhd di Padang Terap.

SERAI atau nama saintifiknya 'Cymbopogen citratus' suatu ketika dulu hanya ditanam secara kecil-kecilan di belakang rumah dan dituai segar dengan batangnya dijadikan perisa masakan, terutama kari, tomyam, kerabu dan rendang.
Namun perkembangan pesat sektor bioteknologi menjadikan tanaman serai secara komersial seperti satu fenomena baru yang melanda masyarakat negara ini, terutama sejak kebelakangan ini. Semakin ramai yang memperkatakan mengenai potensi tanaman itu yang menjanjikan pendapatan lumayan.
Serai yang juga sejenis tanaman rumput beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat, dikatakan berasal dari Sri Lanka dan tersebar luas di kawasan tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China.
Pada setiap rumpun terdapat banyak batang yang tumbuh daripada rizom. Batangnya berwarna putih keunguan atau kemerahan, manakala daunnya tirus, melampai serta panjangnya antara 60 hingga 100 sentimeter (sm), manakala lebar antara satu hingga 1.5 sm.
Dari aspek perubatan, kandungan `citral' dalam serai berkesan untuk membantu proses pencernaan, melegakan kekejangan, ketegangan otot, sengal-sengal, merawat selsema, batuk, kanser dan sakit kepala. Pati minyaknya pula serai membantu meredakan senak dalam perut disebabkan angin dan membantu mengurangkan bau badan.
PENDUDUK kampung menjalankan kerja memotong daun dan mengikat serai yang diusahakan syarikat Era Budi Management Sdn Bhd di Kelantan.
Serai juga membantu menurunkan suhu badan serta bersifat antiseptik, manakala kandungan tonik di dalamnya akan merangsang sistem badan dan bertindak sebagai pelali terhadap sistem saraf pusat.
Di negara ini, antara serai yang popular di kalangan pengusaha ialah serai paha ayam, serai hijau, serai telur, serai gajah dan serai wangi.Menyedari potensi besar tanaman itu, sebuah syarikat Bumiputera, Era Budi Management Sdn Bhd (EBMSB) mengorak langkah sejak empat tahun lalu mengusahakan tanaman serai bermula di Jeli dan Gua Musang, Kelantan secara kecil-kecilan.
Presiden EBMSB, Datuk Mohd Alwi Mohd Noor, berkata selepas mendapati serai mempunyai pasaran meluas, syarikatnya mula menambah keluasan tanaman itu kepada 100 hektar di Kelantan mulai 2007.
Sejak beberapa bulan lalu, syarikat itu melebarkan operasinya ke Kedah dengan memajak bekas ladang tebu Gula Padang Terap Sdn Bhd (GPTSB) milik Tradewind Bhd. Syarikat itu sudah melabur hampir RM1 juta untuk projek berkenaan.
Bagi fasa pertama, syarikat itu memajak 2,000 hektar tanah pamah dan beralun di bekas ladang tebu di Padang Terap dan setakat ini 300 hektar sudah diusahakan dengan tanaman serai yang mana ia ditanam di baris kosong antara tanaman getah.
Katanya, selain mengusahakan sendiri syarikat itu juga menggalakkan individu atau syarikat yang berminat menjalin kerjasama mengusahakan tanaman itu melalui konsep penanaman kontrak.
Beliau yang berkelulusan Diploma Perguruan dari Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan, selain mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan melihat potensi penanaman serai amat luas kerana tumbuh-tumbuhan itu digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Mohd Alwi, 35, yang sebelum ini bergiat dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkata, hasil penyertaannya dalam satu persidangan herba dan makanan di China beberapa tahun lalu mendapati potensi serai amat besar yang mana nilai dagangan produk berasaskan bahan itu mencecah AS25 bilion sehari di seluruh dunia.
"Serbuk atau minyak dari ekstrak serai digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang pembuatan, termasuk farmaseutikal, makanan, minuman, pencuci, penyegar udara dan kosmetik di seluruh dunia dan pengeluarannya tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi.
"Harga pasaran serai dalam bentuk serbuk misalnya mencecah RM15,000 setan metrik, manakala ekstrak minyak pula sehingga RM24,000 seliter."Bahan mentah syarikat ini kebanyakannya dieksport ke China, Korea, Jepun, Kanada dan Singapura," katanya yang kini menggaji 60 pekerja Bangladesh di ladang serainya di Padang Terap.
Syarikat itu juga mengusahakan tanaman itu di beberapa negeri lain, termasuk Selangor, Pahang dan Johor, tetapi ladang di Kedah adalah paling besar. Selain serai, syarikatnya juga sudah memulakan tanaman depu atau gaharu di Kelantan dan Kedah.
Thailand sudah lama mengusahakan tanaman ini secara komersial dan sebagai buktinya negara itu mempunyai ladang serai seluas 800,000 hektar.
Mohd Alwi berkata, serai amat mudah ditanam kerana ia tahan lasak dan satu-satunya musuh tanaman itu ialah ulat pengorek batang yang boleh menyebabkan tanaman itu mati.
Katanya, serai biasanya dijadikan tanaman kontan sementara menunggu pokok getah atau kelapa sawit besar sehingga enam tahun, selain sesuai ditanam di kawasan buah-buahan.
EBMSB tidak bersendirian dalam mengusahakan tanaman serai, sebaliknya turut mendapat bimbingan Jabatan Pertanian serta penyelidikan dan pembangunan daripada Mardi dan penyelidikan universiti tempatan.
Syarikat itu kini dalam proses menjalin kerjasama dengan GPTSB untuk menggunakan sebahagian kemudahan di kilang tebu di situ untuk memproses serai menjadi serbuk dan ekstrak minyak.
Katanya, beliau menjangkakan syarikat itu mampu memperoleh pulangan kira-kira RM250 juta hasil serai dalam bentuk separa proses pada tahun ini dan sasarannya pada 2010 memiliki tanaman serai seluas 8,000 hektar.
InfoSerai
· Boleh dituai selepas enam bulan ditanam.
· Setiap rumpun biasanya ditanam dengan empat anak benih yang ditanam condong untuk menggalakkan pembiakannya.
· Setiap rumpun mampu menghasilkan sehingga empat kilogram tuaian.
· Setiap kawasan seluas 0.4 hektar boleh menghasilkan antara 10 hingga 15 tan metrik semusim (enam bulan) dengan pulangan lebih RM10,000.
· Untuk hidup subur, serai memerlukan kawasan yang tidak terlalu terlindung dan cukup cahaya matahari, manakala tanah yang sesuai ialah tidak digenangi air.

Tuesday, February 3, 2009

Buku Buat Duit dengan Cendawan


Kawan ada bertanya:
"kau ada tak maklumat / nota pasal nak tanam cendawan dan mcmana nak jual?"
Jawab aku:
"Kat kedai dah ada buku..nota tu nanti aku fotostat..kami kat rumah tak tanam cendawan..beli yang sudah siap proses..satu polibeg RM1.20 dan balik bela..kat rumah ada 200+ polibeg dalam dua rumah mini cendawan..selalu jual kat kawan-kawan dan pasar malam..paket 200gm=RM2."

Keterangan buku: (http://www.bookcafe.com.my/)

Harga RM13.50

Siri Buat Duit menerangkan cara menambah pendapatan tambahan dengan melakukan aktiviti bisnes yang mudah, murah dan cepat. Sesuai untuk sesiapa sahaja yang ingin mencari kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

Mengandungi panduan yang lengkap sebelum dan selepas memulakan bisnes. Diterangkan dengan format yang mudah difahami, pembaca boleh terus membuka bisnes selepas tamat membaca.

Sektor pengusahaan cendawan semakin mendapat permintaan. Ramai yang masih menganggap proses menanam cendawan rumit. Sebenarnya ia mudah serta senang dijaga. Anda boleh mulakan projek di kawasan rumah dengan permulaan modal kurang daripada RM1,500 dan dalam masa tiga bulan hasilnya sudah boleh dikutip.

Turut dimuatkan langkah-langkah membiakkan cendawan yang mudah, lengkap dengan panduan pelan projek dan susunan rak memudahkan lagi anda untuk memulakan bisnes ini.
Prakata
Bab 1: Pengenalan
Bab 2: Pasaran
Bab 3: Lokasi
Bab 4: Sumber Bekalan
Bab 5: Bahan dan Kos
Bab 6: Tenaga Kerja
Bab 7: Pendaftaran Syarikat
Bab 8: Kaedah Menanam Cendawan
Bab 9: Membasmi Penyakit Cendawan
Bab 10: Pengurusan Lepas Tuai
Bab 11: Harga Pasaran
Bab 12: Pemasaran
Bab 13: Pengalaman Sebenar
Bab 14: Organisasi yang Berkaitan
Bab 15: Pinjaman
Rujukan
Lampiran

Thursday, December 18, 2008

Awas - Skim Cepat Papa Kedana dalam Industri Tani

Maklumat dari forum berkaitan.

http://www.mfa.org.my/?forum:hospitality-biz-network-consultants-another-mat-kiosk-case:13410-frm-4

Posted by Pendiam - 17 Dec 2008, 1:10am

Antara pengalaman saya di PDF(Pretige Dairy Farm) Puchong:-
Saya datang untuk temankan kawan. memang dah niat tak terjebak. Kalau boleh bertekak saya akan buat, bukan rugi apa2 pun. Memang tak tahu apa2 pun bisnes diaorang. Balik rumah baru cari dalam internet.

Penerangan bagus(kira ada logiklah). tapi bila sampai kat harga susu RM2.50 seliter ada sikit cuak, Macam harga petrol jer. CONsultant yang beri penerangan budak baru (3 bulan kerja). Slow sikit bila nak beri penerangan. Bila bab buat pinjaman dia panggil bos/manager dia untuk beri penerangan. Dalam hati berkata...hilang akal ker aku nak buat pinjaman 40k - 50k.

Kalau projek ni betul2 projek nak banyakkan susu lembu kat Malaysia, kenapa syarikat ni tak buat pelan bisnes yang betul2 menarik untuk dapat loan daripada bank. Tak perlu minta duit orang ramai. Jalan dulu projek, tunjuk data statistik yang betul mengerunkan baru orang percaya. Setakat A4 dan poster2 jer aku gelak jer.

Akhirnya sampai masa nak 'closing' (istilah orang sales sebelum prospek tandatangan). Kawan aku terbang seribu ringgit. Aku pun berlakon ambil ponsel delete dan baca sms. Manager dia push suruh aku bayar deposit. Aku buat dengar tak dengar jer...hahaahaha. Aku kesian kat dia, simpan ponsel aku terus-terang yang aku tak akan bagi deposit atau nombor kad kredit kepada seseorang yang baru aku kenal sejam-dua. Bagi aku fikir masak2 dulu baru boleh tandatangan.

Macam tak puas hati juga manager tu (CONsultant tu senyap jer). Cara dia buat sales sebenarnya tak betul dan menyalahi undang2. Aku pun terlibat dalam sales Unit Trust. Jadi minta maaf lah PDF Puchong.

Aku cuma boleh cuci mata tengok 2 orang CONsultan pompuan yang seksi jugalah disamping kopi secawan. Kenapalah kawan aku dapat CONsultan jantan untuk beri penerangan malam tu.

SKIM CEPAT KAYA

Soalan-soalan Lazim mengenai Skim Cepat Kaya
Sharudin Jamal (ID=7672) - 29 Oct 2008, 8:39am

Apakah Skim Cepat Kaya?

Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Skim "Cepat Kaya" yang berikut adalah dilarang di bawah undang-undang yang dikuat kuasakan oleh Bank Negara Malaysia:
Aktiviti pengambilan deposit secara haram

Aktiviti pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.


Urus niaga mata wang asing haram

Perbuatan yang berikut tergolong kepada urus niaga mata wang asing haram:

Membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).


Membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW.


AMARAN: Skim Pelaburan Melalui Internet
Orang awam diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang dipromosikan melalui internet. Sesetengah syarikat dan laman web yang menawarkan skim pelaburan melalui internet tidak dilesenkan atau diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit atau membuat urus niaga mata wang asing. Aktiviti sedemikian biasanya menawarkan pulangan pelaburan yang menarik atau peluang pelaburan yang membabitkan kadar pulangan yang tidak realistik dan tanpa risiko atau berisiko rendah.

Pelabur adalah diingatkan supaya membuat deposit hanya dengan institusi yang berlesen atau menjalankan urus niaga mata wang asing dengan institusi yang diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia agar mereka boleh mendapat perlindungan yang sepatutnya. Pengendali tidak berlesen boleh berhenti menjalankan perniagaan mereka yang menyebabkan pelabur-pelabur tidak mempunyai apa-apa cara untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana orang yang terbabit dengan skim tersebut.



Bagaimanakah untuk mengesan Skim Cepat Kaya?
Skim pengambilan deposit secara haram

Orang berkenaan (individu, syarikat atau organisasi) menerima, mengambil atau menyetujuterima deposit daripada orang awam tidak mempunyai lesen di bawah seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989;

Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit dengan atau tanpa faedah atau pulangan (faedah atau pulangan pelaburan dijanjikan untuk dibayar dalam suatu tempoh masa dan dalam bentuk wang atau nilaian wang, sebagainya); dan


Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit pokok apabila pembayaran balik dituntut atau pada suatu masa atau mengikut hal keadaan yang dipersetujui oleh atau bagi pihak orang yang membuat bayaran itu dan orang yang menerimanya, dengan apa-apa balasan berupa wang atau nilaian wang (pembayaran pelaburan pokok adakalanya dimasukkan sekali dalam faedah atau pulangan tetap yang dijanjikan).


Amaran Untuk Pelabur

• Aktiviti pengambilan deposit secara haram selalunya berselindung dengan pelbagai cara untuk menipu orang awam menjadi mangsa skim pelaburan haram, antaranya, melalui tawaran pemberian emas dan barang berharga yang lain sebagai sebahagian daripada pulangan yang dijanjikan. Selain itu, orang ramai juga disogok dengan dakwaan bahawa deposit itu diterima sebagai pinjaman kepada syarikat.

• Aktiviti pengambilan deposit secara haram seringkali digambarkan mampu memberi kadar faedah atau pulangan yang tinggi atau tidak realistik dalam suatu masa yang singkat berbanding dengan institusi-institusi berlesen yang lain. Bagaimanapun, skim-skim seperti ini tidak boleh bertahan lama;

• Jangka hayat skim-skim seperti ini bergantung kepada penyertaan pelabur baru di mana dana pelaburan yang diterima akan digunakan untuk pembayaran dividen kepada pelabur lama. Sekiranya syarikat pengendali gagal mendapatkan pelabur baru, skim ini akan gagal kerana ketiadaan sumbangan dana dari pelabur baru.

• Pada permulaannya, pelabur-pelabur awal akan dibayar pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan. Bagaimanapun, akhirnya pengendali akan melarikan diri dengan wang deposit yang dipungut apabila pengendali mendapati skim akan mengalami kegagalan yang akhirnya menjadikan pelabur rugi.


Skim urus niaga mata wang asing haram

Urus niaga mata wang asing dengan seseorang, selain daripada seorang yang diberi kuasa, yang tidak mendapat kebenaran oleh Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW sering:

Menawarkan kepada pelabur atau orang awam peluang untuk berurus niaga mata wang asing dengan syarikat induk (yang kononnya mempunyai lesen sah untuk berurus niaga mata wang asing di luar negara);

Memudahkan urus niaga mata wang asing dengan menyediakan akses kepada laman web syarikat induk dan kemudahan urus niaga melalui internet;

Menggaji lepasan siswazah sebagai eksekutif pemasaran dan mempengaruhi mereka supaya membuat ahli keluarga mereka membuat pelaburan;

Mengarahkan pelabur-pelabur untuk mendeposit wang pelaburan sama ada ke dalam akaun bank syarikat induk atau akaun bank pihak ketiga; dan

Mempengaruhi pelabur-pelabur untuk menambah jumlah pelaburan ("panggilan margin") atau menghadapi risiko kehilangan pelaburan mereka .


Amaran untuk Pelabur

Pengendali skim mata wang asing haram akan cuba menyakinkan bakal-bakal pelabur dengan strategi pasaran yang menjanjikan pulangan segera dan tinggi-

• Melalui penampilan imej yang profesional dan bereputasi dengan barisan pekerja yang berpakaian segak, keadaan pejabat yang bercirikan teknologi tinggi dan kemudahan IT yang terkini yang memudahkan pelabur-pelabur untuk mengendalikan akaun-akaun mereka melalui internet;

• Dengan peralatan urus niaga seperti suatu skrin berita yang menunjukkan pergerakan dalam kadar pertukaran untuk memberi gambaran bahawa sesuatu perniagaan yang profesional dan sah di sisi undang-undang sedang dijalankan;

• Kebiasaannya, pelabur juga dikehendaki untuk menandatangani satu kontrak urus niaga dengan syarikat. Kontrak-kontrak ini sering tidak ditandatangani oleh syarikat. Ini bermakna tiada tindakan boleh diambil oleh pelabur terhadap syarikat kerana tiada kontrak formal yang mengikat.




Bagaimanakah untuk melindungi diri daripada terjebak dengan skim seperti ini?


Ingatlah pada kata hikmat ini - Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan;
Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga mata wang asing yang di beri kuasa;
Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan;
Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur;
Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet;
Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis; dan
Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.


Apakah yang perlu anda lakukan sekiranya anda menjadi mangsa skim seperti ini?

Jika anda mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti pengambilan wang secara haram atau urus niaga mata wang asing secara haram atau anda sendiri adalah mangsa kepada aktiviti atau skim haram seumpamanya tersebut , sila hantar maklumat lanjut atau aduan anda beserta dengan dokumen berkaitan kepada Bank Negara Malaysia seperti berikut:

Alamat:

Unit Penyiasatan Khas
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Faksimili: 03-26987467
E-mel: upkinfo@bnm.gov.my

Kami juga boleh dihubungi di nombor telefon yang berikut:

Tel.: 03-2691 5090 / 2698 4163 / 2691 0824 / 2692 6482 / 2694 2143

Friday, December 12, 2008

Gemukkan kambing guna teknik Magic Box

Fauzi gemukkan kambing guna Magic Box

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR


Teknik Magic Box yang diaplikasikan Fauzi diyakini berupaya merangsang pertumbuhan kambing.

--------------------------------------------------------------------------------
SETELAH 11 tahun berkecimpung dalam dunia perusahaan penternakan kambing, Muhammad Fauzi Daud, 44, membuktikan usaha gigih, pergorbanan serta pengalaman yang sentiasa mendewasakan beliau dalam industri berkenaan pasti membuahkan hasil.

Bermula hanya dengan 20 ekor kambing serta bermodalkan wang sebanyak RM30,000, beliau memulakan perusahaannya di sebuah ladang ternakan di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Lebih menarik, beliau yang tidak tergopoh gapah untuk mencari keuntungan ataupun pulangan dalam masa yang singkat, sebaliknya menghabiskan masa selama lima tahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri berhubung segala faktor yang berkaitan perusahaannya.

Ini termasuk mengkaji sistem ternakan terbaik, faktor pemakanan dan juga aspek penjagaan yang dapat diaplikasikan kepada kambing-kambing ternakannya.

Langkah tersebut adalah bagi memastikan penceburan beliau dalam bidang tersebut bukan sekadar untuk menjual serta membekalkan kambing, malah mewujudkan sebuah sistem yang benar-benar efektif dalam menghasilkan ternakan yang benar-benar berkualiti.

Pada masa sama beliau juga berharap dapat mengurangkan kos perbelanjaan.

Dalam jangka masa lima tahun menjalankan R&D, beliau tidak menjual walau seekor mahupun membekalkan kambing kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau memfokus terhadap mengkaji cara untuk membina sistem kandang, teknik pembiakan, penjagaan dan faktor pemakanan yang mampu mempengaruhi tumbesaran kambing.

Muhammad Fauzi mengakui, jangka masa lima tahun itu dirasakan agak panjang dan mungkin menjejaskan perusahaan kerana tiada janaan pulangan modal dalam lingkungan masa terdekat.

Namun, berteraskan minat serta pengalaman perniagaan yang mantap sebelum ini, Fauzi yang merupakan seorang pengusaha perabot, hanya mula membekalkan kambing kepada umum pada tahun ke enam selepas beliau benar-benar berpuas hati dengan ternakannya.

Menurutnya, selepas menjalankan sendiri R&D yang komprehensif, kambing yang diternak mampu membesar dengan lebih besar daripada saiz biasa.

“Pembinaan kandang yang bersesuaian serta pemakanan yang baik mampu mempengaruhi faktor pembesaran seekor kambing itu,’’ katanya.

Bekat kesabaran beliau itu, Fauzi kini memiliki dua ladang ternakan iaitu di Lenggeng dan Batang Berjuntai, Selangor.

Ladang ternakan di Lenggeng itu mempunyai keluasan 20 ekar dengan 10 ekar daripadanya menempatkan tiga tapak kandang kambing dan selebihnya adalah kawasan rumput untuk dijadikan makanan kambing.

Sehingga kini, beliau memiliki 1,050 ekor kambing daripada jenis Jamnapari yang bakanya diimport dari Indonesia, manakala 1,300 ekor kambing lagi ditempatkan di Batang Berjuntai meliputi jenis Jamnapari dan Bebiri.

Antara yang menarik, Fauzi mengaplikasikan teknik pembinaan kandangan kambing yang dipanggil Magic Box dan menyelaraskan teknik pemakanan Feed lot bagi menggalakkan pembesaran kambing-kambing ternakannya.

Kandang tersebut merupakan tempat Fauzi menempatkan kambing yang berusia lebih dari tiga bulan untuk ‘digemukkan’.

Melalui teknik Magic Box ini, kambing-kambing akan ditempatkan pada petak-petak yang hanya mampu menempatkan seekor kambing dan akan dibiarkan di dalam petak tersebut untuk suatu jangka masa sehingga berbulan-bulan.

Setiap petak dilengkapi dengan tempat pemakanan yang khas di mana kambing-kambing tersebut akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

Selain itu, ruang yang kecil turut membataskan pergerakan kambing di dalam kotak tersebut sekali gus menjadikan ia lebih gemuk.

Sistem tersebut ternyata berkesan kerana kambing-kambing yang ditempatkan di dalam Magic Box itu mempunyai peningkatan dari segi berat dan saiz berbanding kambing yang diternak di dalam kandang biasa.

Pada kebiasaannya, seekor kambing Jamnapari yang matang memiliki berat antara 60 hingga 70 kilogram (kg), manakala menerusi Magic Box berat kambing mampu mencecah sehingga 100-120 kg.

Jelas Fauzi lagi, kambing-kambing yang ditempatkan di dalam Magic Box nyata sihat-sihat belaka dan bebas daripada penyakit kerana petak khas itu telah dicipta dengan tempat pembuangan sisa yang begitu efektif sekali gus menjamin kebersihan kandang.

“Paling penting, penjagaan yang teliti perlu dilakukan bagi menjamin kualiti ternakan,’’ ujarnya.

Dari segi pemakanan pula, Fauzi menggunakan dedaun hijau daripada pelbagai jenis tumbuhan yang dicampur dengan hampas soya, barli dan juga kandungan mineral DG Premix.

Tambah beliau lagi, memproses makanan ternakan sendiri menjadikan kos pemakanan dapat dikurangkan dan lebih menjimatkan.

“Sekiranya, pengusaha menggunakan pellet sebagai bahan makanan, purata kos bagi seekor kambing adalah pada RM1 untuk sehari, padahal jika makanan diproses sendiri, kos tersebut mampu dijimatkan sehingga 30 sen bagi setiap ekor untuk sehari,’’ jelasnya.

Kini, selain membekalkan daging dan baka kambing, beliau turut menawarkan projek mini perladangan kontrak ternak kambing dan bebiri.

Pakej tersebut didatangkan dengan kandang, khidmat nasihat serta bantuan selepas jualan, kursus, kontrak pembelian balik hasil.

Hanya bermodalkan RM10,000, pihak yang berminat untuk menceburi dunia penternakan kambing boleh menghubungi beliau di talian 019-6509690.



Sumber : www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_01.htm

Tuesday, November 25, 2008

Buku Ternak Keli sudah terbit