Wednesday, April 30, 2008

Raih pendapatan lumayan hasil ternak lintah

Sumber : http://harizamrry.wordpress.com/2008/04/25/raih-pendapatan-lumayan-hasil-ternak-lintah/


Abd. Hamid Awang Kecik menunjukkan lintah yang menghisap darah belut di dalam kolam peliharaannya di Sik, semalam.

SIK 24 April - Meskipun bidang pertanian bukan satu kerjaya yang glamor, namun ia menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup memerah keringat di bawah terik matahari dan menempuh pelbagai cabaran.


Ini dibuktikan oleh seorang petani, Abd. Hamid Awang Kecik, 65, dari Kampung Jelutong, dekat sini yang berupaya memperoleh pendapatan lebih daripada RM3,000 sebulan hasil ternakan lintah.


Menurut Abd. Hamid, bidang ternakan lintah dianggap baru dan dilihat mempunyai prospek yang cukup besar.


Katanya, lintah ketika ini menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.


“Masa depan ternakan lintah cerah kerana hidupan tersebut sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.



“Walaupun saya baru menceburi bidang ini, namun setakat ini, ia mampu memberi pulangan lebih RM3,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Abd. Hamid berkata, dia menceburi bidang ternakan lintah setelah diperkenalkan oleh kenalannya sejak beberapa bulan lalu.



Katanya, tanpa mengikuti sebarang kursus, dia cuba mengusahakannya secara sendiri dengan membina kolam di belakang rumah.


“Saya memperoleh anak lintah daripada penduduk kampung dan membela sehingga besar sebelum dijual.



“Kaedah ternakan tidak begitu rumit. Kita hanya perlu menyediakan ikan belut hidup yang dimasukkan ke dalam jaring khas.


“Anak-anak lintah akan menghisap darah ikan belut terbabit dan apabila ikan itu mati, ia perlu digantikan dengan yang baru,” jelasnya.


Tambah bapa kepada enam orang anak itu, setakat ini, dia tidak menghadapi masalah dari segi pasaran memandangkan peraih akan datang membeli setiap minggu.
Katanya, setiap ekor lintah matang berukuran lima hingga 10 sentimeter dijual dengan harga RM1.50 seekor.


“Kadar ini juga bergantung kepada saiz dan kelebaran lintah berkenaan,” ujarnya.
Abd. Hamid memberitahu, dia juga bersedia membantu mereka yang berminat terutama dari segi kemahiran dan teknik-teknik tertentu dalam usaha menceburi bidang tersebut.


Katanya, orang ramai yang berminat membeli lintah atau mendapatkan khidmat nasihat boleh mengunjunginya di Kampung Jelutong, Belantek, Sik, Kedah atau menelefon 013-4332129.

Monday, April 28, 2008

Kursus Cacing 27.04.2008 Seremban.


Salam..

Kelmarin aku kursus cacing pulak. Kosnya RM50 sahaja(Biras sponser), sekerat hari. Pengajarnya seorang yang baru memulakan ternakan cacing ini dalam dua bulan yang lepas. Cacing yang diternak ini ada dua jenis. Satu jenis cacing rimau dan satu lagi cacing merah. Ini cacing diimpot dari Australia noo, bukan cacing belakang rumah atau yang dikorek diperdu pisang buat pancing ikan. Sekali lagi aku ulang, bukan cacing biasa yang pernah kita kenali sebelum ini. Bukan dan bukan. Harga induk..banyak mahal loo. RM450 sekilo. Harga beli balik cacing ialah RM60 sekilo.

Ternak 2 bulan, sekilo boleh dapat balik cacing 2 kilogram. Depa bela dalam rumah teres. Guna bekas fiber 4 x 6 kaki dan dalam 6 inci. Letak atas rak. Satu rak tiga bekas. Jarak antara bekas 2 kaki. Harga rak ini(completed set) kat area Penang ialah RM1000. Medium cacing ialah 50% tahi binatang( lembu, kambing dan ayam)dan 50% medium lain seperti jerami, habuk kayu, suratkhabar lama dan lain-lain yang dirasakan sesuai. Semua medium ini telah diproses. Prosesnya senang saja. Rendam dalam takung 2 – 3 hari kasi masam dan nyahbau.

Produk lain yang boleh dapat dari cacing ni ialah baja kompos, RM1 sekilo dan air cacing RM10 seliter. Sebulan satu bekas (4’ X 6’) boleh dapat berapa kilo, sori aku tak ingat dah. Nanti balik aku buka buku.

Satu bekas campur dua medium tadi 30 kg sekali letak tahan sebulan. Selepas sebulan dah boleh dapat baja kompos dan boleh jual dapat duit. Untuk mengekalkan kelembapan medium, bekas perlu di siram atau direnjis dua kali sehari pagi petang. Tempat cacing ini perlu tertutup. Ini untuk memudahkan pengawalan dari makhluk perosak, seperti burung, tikus, semut, hama dan lain binatang yang minat kepada cacing. Panas matahari tak boleh kena langsung. Seminit saja, maka cacing akan mati kepanasan.

Sekian dulu, nanti aku dah mula projek ni aku boleh cerita panjang dan bagi paper work sekali dan boleh buat loan MARA. RM30K senang-senang saja dapat. Itu kata pengajar kursus ni lah.

Friday, April 25, 2008

Penternak Kambing Sambilan UM 25.04.2008

Hadiah kambing jadi bisnes

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR


Hamidon Tambih sering melawat dan memeriksa perkembangan ternakannya di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

BIDANG penternakan kambing ternyata memerlukan kesabaran yang tinggi selain diiringi minat dan pengalaman yang secukupnya sebelum terfikir untuk menceburinya.
Ramai berpendapat, penternakan kambing merupakan suatu projek yang mudah untuk diusahakan dan mampu meraih keuntungan dalam masa yang singkat.

Sehubungan itu, minat orang ramai terhadap bidang ini semakin mendapat sambutan hangat dan lokasi penternakan boleh dikatakan tumbuh seperti cendawan lepas hujan di negara ini.

Walaupun ini merupakan suatu tanda yang positif kepada perkembangan industri penternakan, namun terdapat golongan yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan hanya menjadikan kejayaan pengusaha lain sebagai alasan untuk mencari keuntungan serta menceburinya.

Sehinggakan, ada individu yang sanggup mencagar aset peribadi bagi menceburkan diri dalam pengusahaan ternakan tersebut. Risikonya jika menjadi pengusaha secara membabi buta ini boleh dikatakan amat tinggi. Ini kerana seseorang pengusaha itu perlu mengetahui selok-belok dunia penternakan sebelum melibatkan diri.

Ia penting bagi menjamin kestabilan pengusahaan yang berterusan dan tidak terhenti separuh jalan disebabkan faktor kerugian yang berpunca daripada tiada perancangan awal.

Bagi seorang penternak, Hamidon Tambih, 39, yang sudah berkecimpung dalam bidang penternakan sejak usia muda lagi, berdasarkan pengalamannya, boleh dikatakan ramai yang berminat untuk menceburi bidang tersebut dan berbelanja ratusan ribu ringgit bagi menceburinya tanpa mendapat pendedahan yang secukupnya.

“Kegelojohan golongan tersebut nyata memakan diri sendiri kerana melibatkan diri tanpa mempunyai pengetahuan asas dalam mengendalikannya. Boleh dikatakan hanya segelintir yang berjaya kekal dalam bidang tersebut.
“Saya bukan hendak menakut-nakutkan golongan yang berminat malah mengalu-alukannya, tetapi nasihat saya kepada umum, kesabaran merupakan elemen yang penting selain disematkan dengan minat bagi menjayakan diri dalam bidang ini,’’ katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Sungai Pelek Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Beliau yang masih menyandang jawatan pengurus projek kanan di sebuah syarikat kontraktor ketika ditemui nyata tidak kedekut untuk berkongsi pengalamannya sejak mula melibatkan diri dengan dunia penternakan sehingga ke hari ini.

Semuanya bermula daripada bapanya yang mengusahakan ternakan lembu, secara tidak langsung minat untuk menjadi penternak sudah dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.
Tambah beliau, minat untuk menceburkan bidang penternakan kambing bermula selepas menerima hadiah anak kambing yang baru dilahirkan daripada hasil ternakan kambing secara kecil-kecilan.

Bermula dari detik itu, Hamidon berazam untuk memperluaskan bidang ternakan pada suatu hari kelak. Lebih menarik, berkat simpanan wang saku semasa berada di zaman persekolahan, beliau memulakan ternakan secara kecilan dengan 15 ekor kambing.

Ekoran itu, beliau lebih suka meluangkan masa dengan kambing ternakannya daripada membazir masa dan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Namun, dalam sibuk membantu bapanya dan menjaga ternakannya sendiri, pelajaran tetap diutamakan.

Berlandaskan disiplin diri yang tinggi dan pengurusan masa yang terancang beliau boleh juga dikatakan cemerlang dalam bidang akademiknya. Justeru itu, selepas menamatkan zaman persekolahan, beliau mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Oleh yang demikian, beliau hanya berpeluang untuk menjaga kambing pada cuti semester.
Sementara beliau sibuk mengejar segulung ijazah, kesemua ternakannya dijaga dan diuruskan oleh bapanya.

Selepas menamatkan zaman universitinya pula, beliau telah mendapat tawaran bekerja yang memerlukan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Ini menyebabkan beliau tidak boleh memfokus terhadap bidang ternakan pada ketika itu, walaupun begitu, beliau masih tetap mahu meneruskan ternakan kambing walaupun terikat dengan pekerjaannya.

Kambing-kambing yang dibelanya hanya dijual kepada jiran-jiran dan kenalan untuk dijadikan sajian bagi majlis kenduri-kendara.

Pada ketika itu, beliau mengekalkan antara 20 dan 30 ekor kambing ternakan yang dibantu oleh bapanya.

Setelah projek di Pulau Pinang itu berjaya diselesaikan, beliau berpindah pulang dan mengambil keputusan untuk menternak kambing secara komersial. Dalam pada itu juga, beliau bersama bapanya telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi mengusahakan ternakan lembu dan beralih kepada ternakan kambing secara optimum.

Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti permintaan kambing lebih tinggi berbanding lembu masa kini serta kos pemakanan yang tinggi.

Kini, impian Hamidon menjadi kenyataan kerana beliau mempunyai 300 ekor kambing yang terdiri daripada jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.

Kini, beliau bukan sahaja memelihara baka induk yang berkualiti, malah membekalkan daging, susu serta mempunyai rumah sembelih sendiri di ladang penternakannya. Mempunyai sebidang tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) itu, beliau membina sebuah kandang yang dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi mengasingkan kambing-kambing ternakannya itu.
Kandang yang dibina itu mampu menampung kapasiti sehingga 400 ekor kambing pada suatu masa.

Dalam pada itu, kandang yang hanya terletak di belakang rumah keluarganya itu dikelilingi kawasan ladang kelapa sawit dan ini sekali gus memudahkan proses meragut dilakukan oleh kambing ternakannya.

Ancaman penyakit
Tambah beliau, beliau membelanjakan sekitar RM3,000 sebulan bagi membeli palet yang termasuk dalam kos pemakanan ternakan. Secara purata, dianggarkan kos pemakanan bagi seekor kambing adalah pada RM15 hingga ke RM20 sebulan.

Hamidon menambah, kambing-kambing beliau merupakan kambing yang diimport dari Australia dan Indonesia. Beliau lebih cenderung untuk membela kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen berbanding kambing Katjang (baka tempatan). Ini adalah kerana saiz baka kambing tempatan adalah lebih kecil walaupun mempunyai diet pemakanan yang sama seperti kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.

Dari segi permasalahan pula, beliau menjelaskan kambing-kambing ternakannya perlu dijaga dengan teliti kerana sekiranya seekor kambing diserang ancaman penyakit seperti kurap, kambing tersebut perlu diasingkan dan dirawat sebelum ia menjangkiti kambing-kambing lain.
Jelasnya lagi, beliau pernah meminjamkan kambing jantan milik beliau kepada seorang pengusaha lain untuk tujuan baka.

Disebabkan pengusaha tersebut tidak menjaga kebersihan kandang ternakannya serta tidak mengambil berat aspek kesihatan ternakan, kambing baka yang dipinjamkan itu dijangkiti kurap. Beliau amat kesal dan sedih apabila kambing tersebut dipulangkan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, kambing tersebut disuntik dengan vaksin anticacing, Ivomax dan kemudiannya beliau menyapu minyak hitam pada bahagian yang dijangkiti. Jangkitan kurap pada kulit kambing tersebut didapati tanggal selepas tempoh dua minggu dan selepas tempoh sebulan, bulu sudah mula tumbuh kembali.

Kaedah ini dikatakan sangat efektif dan beliau turut memberitahu bahawa kos rawatan yang dibelanjakan hanya pada sekitar RM300 ke RM400 sebulan untuk seluruh ternakannya.
Pernah suatu ketika beliau mengalami pengalaman pahit apabila 40 ekor kambing ternakannya mati akibat serangan cirit-birit ekoran masalah banjir.

Keistimewaan penternak kambing ini ialah dia boleh mengenali setiap kambing ternakannya dari segi usia dan dari baka mana terhasil walaupun kesemua kambing tersebut kelihatan agak serupa.
Itu antara kelebihan beliau walaupun hanya mengunjungi ladang ternakannya pada hujung minggu kerana sibuk dengan urusan pejabatnya.

Beliau bersama-sama tiga orang pekerjanya membuktikan bahawa kesabaran perlu disematkan sekiranya ingin berjaya dalam bidang pengusahaan ternakan ini selain faktor minat dan pengetahuan asas yang secukupnya.

Bagi sesiapa yang berminat serta ingin mendapatkan khidmat nasihat boleh menghubungi Hamidon Tambih di talian 019-2304735.


Info:


  • Kerajaan menyasarkan meningkatkan kadar pengeluaran daging kambing 6.7 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan(RMK-9)

  • Bagi mencapai sasaran tersebut, negara memerlukan sejuta ekor kambing dengan bilangan pembiak 380,000 ekor dan bilangan disembelih mencapai 300,000 ekor setahun menjelang 2010.
  • Kerajaan telah merangka beberapa program, antaranya membangunkan 200 ladang ternakan kambing dan biri-biri secara komersial dan membangunkan 29 kawasan tumpuan sasaran.

  • Dasar Pengeluaran Kambing Negara, antara lain meningkatkan tahap sara diri pengeluaran daging kambing menjelang 2010 daripada 9 peratus kepada 35 peratus.
  • Salah satunya ialah pembangunan Pusat Pengeluaran Kambing Boer Negara yang di kenal pasti di kawasan seluas 405 hektar di Pondok Tanjung, Taiping, Perak.
  • Pada masa ini, bilangan penternak kira-kira 23,000 orang.




Monday, April 21, 2008

Info lintah terkini dari RZ Agrifarm Resources

Monday, April 7, 2008

RZ AGRI FARM RESOURCES KINI SELANGKAH DIHADAPAN

RZ Agrifarm Resources kini telah maju selangkah ke hadapan di dalam industri lintah. Impian untuk melibatkan diri di dalam teknologi mengekstrak lintah semakin hampir untuk direalisasikan setelah kunjungan Dr. Wang (berbaju merah) dari negara China pada 7 April 2008.
Dr Wang adalah individu penting di dalam urusniaga untuk mengeksport hasil ekstrak lintah ke negara China. Lebih dari itu, mesin ekstrak lintah yang dijangka sampai dalam jangkamasa dua bulan lagi adalah pemangkin kepada industri ekstrak lintah tempatan.



Biotech Center yang bakal dibina tidak lama lagi akan menjadi pusat pengumpulan lintah yang terbesar di Malaysia. Tidak semata-mata memberi fokus kepada industri lintah, RZ Agrifarm Resources juga di dalam proses memperkenalkan beberapa produk tanaman yang berpotensi tinggi untuk dimajukan.

Jika lintah membolehkan RZ Agrifarm menembusi pasaran negara China, terkini RZ Agrifarm Resources berjaya menembusi pasaran negara India untuk hasil ekstrak tanaman herba.

Kepada usahawan pertanian dan perternakan, gunakan kelebihan kesuburan tanah kurniaan tuhan untuk meningkatkan taraf ekonomi. RZ Agrifarm Resources sentiasa bersedia untuk bersama-sama dengan anda memajukan industri pertanian dan perternakan demi kemajuan bersama.

Friday, April 18, 2008

Pembenihan ikan keli Shahrul UM 180408

Dipetik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

Ikan air tawar rezeki baru Shahrul

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

shahrul Redzuan menunjukkan induk ikan keli yang sesuai untuk digunakan dalam proses aruhan.

Bak kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah dengan usahawan muda yang baru ‘bertatih’ ini. Walaupun baru enam bulan bergiat dalam industri pembenihan ikan air tawar - keli dan tilapia, Shahrul Redzuan Abd. Majid, 26, boleh digelar usahawan berjaya.

Selepas menghadiri kursus anjuran Perintis Agrotech Centre Sdn. Bhd. lebih enam bulan lalu, usahawan muda berkenaan tidak menoleh ke belakang lagi.

Berbekalkan pengalaman menjual telefon bimbit di salah sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur selama lebih dua tahun, Shahrul berubah arah kepada ternakan ikan air tawar - keli dan tilapia di atas tanah kerajaan di Gombak, Selangor.

“Ketika itu pendapatan hasil ternakan ikan memang menggalakkan tetapi ada kalanya saya sukar mendapatkan bekalan benih.

“Kadang-kadang saya terpaksa membiarkan kolam kosong selepas ikan habis dituai kerana putus bekalan benih,” katanya semasa ditemui di tapak pembenihan ikan air tawarnya di tanah seluas satu ekar di Telok Gong, Pandamaran, Kelang, Selangor.

Walaupun kehilangan ibu dan ayahnya semasa berusia 15 tahun ini dan meninggalkan persekolahan setakat Tingkatan Empat, bukan bererti Shahrul tidak boleh meletakkan dirinya sebagai usahawan berjaya.

Dengan galakan dan sokongan rakan sekolahnya Mohd. Alif Parjan, 25, graduan jurusan kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) - dua anak muda dengan latar belakang pendidikan berbeza ini mengambil keputusan mengusahakan industri pembenihan ikan air tawar secara kecil-kecilan.

“Walaupun saya telah menghadiri kursus selama dua hari mengenai pembenihan ikan air tawar tetapi untuk untuk mengkomersialkannya bukan semudah yang disangkakan.
“Pada mulanya saya terpaksa mencuba lebih lima kali teknik aruhan sebelum telur-telur ikan berjaya disenyawakan.

“Sampai sekarang saya tidak tahu apa silapnya tetapi sifat tidak putus asa menyebabkan saya dan Alif terus mencuba sehingga berjaya,” katanya yang memelihara 200 ekor induk keli betina.
Shahrul menambah, bagi seekor ikan keli betina yang beratnya satu kilogram boleh menghasilkan sehingga 50,000 telur untuk disenyawakan dengan kadar kejayaan hidup boleh mencapai sehingga 80 peratus.

Hanya memelihara induk betina, Shahrul membeli keli jantan dari pasar memandangkan haiwan itu akan dikorbankan semasa mengambil sperma yang terletak di bahagian tulang belakang ikan.
Bagaimanapun induk betina digunakan sekali saja kerana ia hanya akan menghasilkan telur semula selepas enam bulan.

“Sekarang ramai yang menggunakan kaedah aruhan memandangkan peratusan benih yang hidup lebih tinggi berbanding cara semula jadi,” katanya yang bergiat dalam pembenihan ikan memandangkan tidak ramai yang berminat menceburinya atas alasan kerjanya yang remeh.
Buat masa ini, Shahrul berupaya mengeluarkan sehingga 500,000 anak benih keli dan tilapia bergantung kepada permintaan pelanggan.

Jika anak benih keli dihasilkan menerusi aruhan, anak benih tilapia pula dihasilkan menggunakan kaedah inkubator bagi mendapatkan kadar hidup yang lebih tinggi.
Kaedah inkubator telah berjaya digunakan dengan jayanya bagi menghasilkan ikan tilapia yang kemudian diasuh bagi mendapatkan ikan monoseks yang lebih lebih cepat membesar dan boleh dituai.

Menyentuh mengenai pasaran, bapa kepada seorang anak ini berkata, beliau menerima tempahan daripada bekas-bekas peserta kursus dengannya yang berminat menjalankan ternakan ikan air tawar.

“Walaupun saya tidak mencari pasaran tetapi permintaan yang diterima sangat menggalakkan sehingga tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Merancang masa depan Shahrul bercadang meluaskan industri pembenihan ikan air tawar dan meneruskan kesinambungan ternakan ikan yang ditinggalkan sebelum ini.
“Dan jika simpanan saya mencukupi, insyaallah saya akan membuka kolam pancing pula,” katanya yang amat meminati industri perikanan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan bekalan benih ikan boleh menghubungi Shahrul Redzuan di nombor 019-259 2213.

Bagi mereka yang berminat menghadiri kursus teknik aruhan ikan keli atau kursus pertanian yang lain bolehlah menghubungi Perintis Agrotech Centre di 019-3311298 atau 019-6634527.