Wednesday, May 14, 2008
Rencana BH140508 : Anak muda tetap hidup selesa hasil tanaman padi
Langkah Hamid menceburi bidang itu sejak 1999 selaras dengan hasrat kerajaan melipatgandakan usaha meningkatkan pengeluaran padi negara, lebih-lebih lagi ketika harga beras kini melonjak di pasaran dunia. Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran meningkatkan pengeluaran padi negara, daripada 72 peratus kepada 80 hingga 90 peratus pada musim akan datang.
Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import. Malaysia mengimport 30 peratus keperluan beras, iaitu kira-kira 700,000 tan setahun, sebahagian besarnya dari Thailand dan Vietnam.
Justeru, Hamid yang mengusahakan kira-kira lima hektar sawah padi di Nibong Tebal boleh berbangga ketika ini kerana beliau adalah antara penyumbang kepada bekalan beras negara. Hamid berkata, pada mulanya beliau hanya menganggap pekerjaan itu sebagai pekerjaan biasa, bagaimanapun apabila berlaku masalah kekurangan beras, pekerjaan itu dirasa begitu penting, sekali gus memberikan semangat untuk beliau supaya terus bekerja keras.
"Saya bangga menjadi pesawah kerana hasil yang diperoleh daripada kerja saya dapat membantu penduduk negara ini. Krisis makanan dan masalah beras itu memberi semangat untuk saya terus mempertingkatkan hasil tanaman padi saya," katanya ketika ditemui di Nibong Tebal. Beliau, yang pernah mendapat anugerah Peladang Muda Jaya peringkat Pulau Pinang tiga tahun berturut-turut sejak 2004 berkata, bidang pertanian mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana terbukti bahawa dengan menceburi bidang berkenaan, beliau dapat memperbaiki taraf hidupnya.
"Saya tidak setuju dengan pendapat orang bahawa kerja ini susah dan tidak memberi pulangan yang baik," katanya yang memperoleh pendapatan purata RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil daripada tanaman padi. Bapa kepada seorang anak itu berhasrat meluaskan tanaman padinya dan akan terus berusaha mencapai 10 metrik tan padi sehektar pada masa akan datang.
"Pada masa sekarang saya hanya boleh mencapai lapan tan padi sehektar kerana beberapa masalah seperti padi angin, serangan makhluk perosak seperti tikus dan siput gondang emas dan saya akan berusaha lebih gigih untuk mencapai sasaran 10 tan sehektar," katanya. Hamid yang dibantu empat pekerja mampu menghasilkan kira-kira 70 tan padi setahun.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kecewa kerana harga padi yang didakwa terlalu murah sedangkan kos pengeluaran padi semakin meningkat sehingga mencapai RM1,600 sehektar. "Pengilang membeli padi pada harga RM650 satu metrik tan. Pesawah tidak dapat pulangan yang banyak kerana kos pengeluaran meningkat berikutan harga barang seperti baja dan racun turut meningkat dari semasa ke semasa," katanya menjelaskan bahawa padi dibeli dengan harga berbeza oleh pengilang.
Pada 2006, kerajaan menetapkan harga minimum terjamin bagi padi daripada RM559 kepada RM650 satu tan. Kelmarin, Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyebut bahawa harga minimum terjamin beras dinaikkan daripada RM650 satu tan kepada RM750 satu tan. Langkah berkenaan diambil selepas kerajaan menimbangkan kepentingan semua pihak dan bagi memelihara kebajikan pengguna dan pesawah dalam isu kenaikan harga padi dan beras.
Hasil daripada usaha gigihnya, Hamid dapat membeli empat jentera pembajak yang digunakan untuk mengambil upah membajak sawah. "Ini adalah pendapatan tambahan saya. Bagi setiap musim padi, saya memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM15,000 hasil daripada upah membajak," katanya.
Selain mengusahakan sawah padi, Hamid turut mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan menternak lembu. Hamid yang mempunyai 60 ekor lembu berkata, setiap tahun beliau menjual kira-kira 20 ekor lembu dengan harga antara RM1,800 hingga RM2,500 seekor. Beliau turut menternak sembilan ekor kambing dan membina kolam ikan bagi mempelbagaikan pendapatannya.
"Saya sarankan golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan menceburi bidang pertanian kerana jika kita berusaha bersungguh-sungguh, ia mampu memberi pulangan lumayan," katanya. - Bernama
RM803j lagi untuk padi BH140508
Pesawah terima subsidi, insentif RM2,656 sehektar: Datuk Mustapa Mohamed
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM803 juta untuk melaksanakan beberapa langkah segera bagi meningkatkan pengeluaran padi dalam jangka masa pendek, termasuk kali pertama menyediakan bantuan bekalan racun serangga dan bahan kimia. Peruntukan itu adalah tambahan daripada jumlah subsidi dan insentif padi sebanyak RM923 juta yang diluluskan tahun ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata menerusi peruntukan tambahan itu setiap pesawah secara keseluruhannya akan menerima subsidi dan insentif sebanyak RM2,656 sehektar.
Beliau berkata, RM80 juta daripada peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk bekalan racun serangga dan bahan kimia bagi membantu pesawah mengawal serangan makhluk perosak, seperti siput gondang emas, tikus, bena perang, karah, hawar dan penyakit lain yang boleh menjejas pengeluaran hasil padi. "Peruntukan racun makhluk perosak dan bekalan bahan kimia ini adalah pertama kali pernah diberi kepada pesawah secara percuma," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Mustapa berkata, kerajaan juga bersetuju menambah tiga lagi kampit baja menjadikan setiap pesawah akan menerima 24 kampit bagi setiap hektar sawah mulai tahun ini membabitkan peruntukan RM146.4 juta. Sebanyak RM97.5 juta pula akan digunakan untuk penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, manakala perataan tanah sawah sebanyak RM35 juta. Beliau berkata, menerusi langkah itu serta pembukaan jelapang padi di Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan lain di Semenanjung, pengeluaran padi negara dijangka bertambah tujuh peratus atau 170,000 tan tahun ini dan meningkat 24 peratus atau 570,000 tan menjelang 2010. "Dengan pengeluaran ini, tahap sara diri akan ditingkatkan daripada 73 peratus ketika ini kepada 86 peratus menjelang 2010," katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan langkah menangani kekurangan bekalan dan kenaikan harga beras, berkata kerajaan akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta untuk 500,000 tan beras import sebagai subsidi bagi mengekalkan harga runcit beras demi meringankan beban pengguna. Mustapa berkata, kementerian juga merancang program jangka panjang untuk meningkatkan pengeluaran padi.
Antaranya, pembangunan sumber air baru untuk mengairi sawah termasuk pembinaan kolam takungan air, telaga tiub, penyediaan lebih banyak pam air, ban penghalang banjir dan jalan ladang lebih sempurna. Kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk melaksanakan projek itu mulai tahun ini. Selain itu, masing-masing RM25 juta juga disediakan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur sedia ada di kawasan jelapang padi di Sarawak seluas 41,100 hektar dan 31,200 hektar di Sabah. "Pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk menyelaras dan memandu pelaksanaan projek berkenaan membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pertanian dan Makanan di dua negeri itu," katanya, sambil menambah peruntukan tambahan juga akan terus disediakan bagi tempoh dua tahun akan datang.
Mengenai pembelian beras dari Thailand, Mustapa berkata, kedua-dua negara sudah mencapai kata sepakat dan sebanyak 200,000 tan metrik beras akan dibekalkan segera ke Malaysia. "Mereka akan menghantar 100,000 tan metrik beras putih gred 15 peratus hancur dan 100,000 tan metrik lagi gred lima peratus hancur. "Penghantaran segera yang pertama sebanyak 50,000 tan metrik akan dilakukan dalam tempoh dua minggu, manakala bakinya diselesaikan sebelum penghujung Jun ini," katanya yang enggan menyatakan harga yang dipersetujui kedua-dua negara.
Difahamkan, harga yang diputuskan adalah sekitar AS$925 satu tan metrik. Malaysia sebelum ini meminta harga sekitar $AS850 satu tan metrik, manakala Thailand sedia menjual pada harga $AS1,000 satu tan metrik. Harga beras di pasaran dunia kini dalam lingkungan AS$1,000 (RM3,197) satu tan metrik. Lonjakan harga beras putih Thailand itu sejak sebulan lalu daripada AS$360 (RM1,145) berikutan tindakan Vietnam dan India menghentikan eksport beras akibat pengeluaran yang merosot.
Mustafa berkata, pembelian 200,000 metrik tan itu akan meningkatkan tahap stok penimbal beras negara meningkat daripada 92,000 metrik tan kepada 290,000 metrik tan. "Ini adalah simpanan strategik untuk satu bulan setengah," katanya sambil menambah bekalan beras dalam negara adalah mencukupi. Ditanya sama ada kerajaan sedia memberi lesen baru kepada pihak lain untuk mengimport beras, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji keperluan itu. Menerusi perjanjian penswastaan, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mempunyai hak monopoli mengimport beras untuk bekalan dalam negara.
Monday, May 12, 2008
Rencana : Negara mampu keluar hasil padi melebihi keperluan BH120508

Katanya, berdasarkan keluasan penanaman padi sedia ada di seluruh negara yang kini melebihi 650,000 hektar, Malaysia sebenarnya tiada masalah untuk membekalkan beras untuk lebih 30 juta penduduk sedangkan jumlah penduduk kini cuma 27 juta orang.
“Contohnya, pada dua peringkat utama yang perlu diberi perhatian iaitu tempoh beranak aktif dan pembentukan tangkai, kegagalan memberi baja pada masa yang tepat akan menyebabkan hasilnya merosot sehingga lebih 25 peratus,” katanya. Syed berkata, pada peringkat beranak aktif, iaitu selepas 15 hingga 20 hari dari tarikh menabur benih, baja mesti diberikan segera manakala sebelum hari ke-55, iaitu pada peringkat pembentukan tangkai (padi bunting), baja perlu diberikan sekali lagi.
NadiBiz: Sidi Oraza puas hati bantu petani BH120508
Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Ekonomi/20080512091115/Article

Bekas pengarah, pelakon tinggal dunia glamor mulakan perniaggan baja kimia, organik
BERBEKALKAN modal RM6,000 pemberian ibunya, Allahyarhamah Syarifah Zarojarn Syed Azgkhar hasil penjualan rumah mereka, bekas pengarah dan pelakon terkenal sekitar 1990-an, Sidi Oraza memulakan perniagaan mengeluarkan dan memasarkan baja kimia dan organik.
Perniagaan yang dimulakan Sidi atau nama sebenarnya, Syed Osman Syed Rastan, 43, menerusi syarikat yang ditubuhkannya sejak 10 tahun lalu, iaitu Diversatech (M) Sdn Bhd, terus berkembang dengan pasaran bukan saja di Malaysia malah luar negara seperti Indonesia dan di Asia Barat.
Namun, beliau yang memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Diversatech mengakui terpaksa melalui pelbagai ranjau sebelum mengecapi apa yang ada sekarang, terutama ketika kegawatan ekonomi sekitar pertengahan 1990-an.
Bagaimanapun, berpegang kepada prinsip 'usaha adalah tangga kejayaan' dan sentiasa ingat kepada Allah membolehkan beliau mengharungi semua ranjau itu.
Sidi berkata, idea untuk beliau menceburi bidang perniagaan tercetus selepas pulang dari China. "Tujuan ke China untuk belajar berniaga.
Tetapi saya tidak dapat ilmu berniaga, cuma dapat ilmu macam mana rakyat negara itu boleh berjaya dalam perniagaan. "Antaranya ialah mereka makan, jalan dan berfikir dengan cepat, justeru apa saja boleh jadi. Malah hasil kerajinan dan kegigihan, Tembok Besar Cina dapat mereka bina.
"Kegawatan ekonomi sekitar 1997 dan 1998 juga benar-benar menguji kekuatan saya. Ketika itu saya sudah tidak berlakon, bayangkan daripada hidup mewah dengan kereta besar, saya terpaksa berjalan kaki atau menaiki kenderaan awam.
TEKUN: Seorang pekerja sedang melakukan kerja pembungkusan baja di kilang Diversatech di Semenyih."Pernah saya hanya ada RM1 dalam poket, saya terpaksa memilih sama ada mahu beli makanan atau naik bas pulang ke rumah di Ampang Jaya dari Zoo Negara. Saya ambil keputusan untuk jalan kaki bagi menjimatkan duit untuk makan.
"Turun naik kenderaan awam bersama isteri dan anak yang masih kecil juga adalah perkara biasa sehingga apabila terjumpa peminat dan mereka bertanyakan mengapa saya menaiki LRT, saya beritahu yang saya sedang membuat kajian untuk filem baru, padahal ketika itu saya tiada kereta," katanya sambil ketawa.
Katanya, dorongan abangnya, Prof Madya Dr Syed Omar yang juga pakar dalam bidang pertanian membuka telah laluan untuk menceburi bidang pengilangan dan pemasaran baja.
"Nak cerita betapa susahnya masa mula-mula membuka kilang baja ini, saya dan pasukan kerja menjual baja, tidur di kilang, buat promosi kepada petani. Dari awal hingga ke akhir semua buat sendiri. Alhamdulillah, hasil kerja keras pasukan kerja syarikat ini berbaloi," katanya.
Beliau turut melahirkan kesyukuran mempunyai pasukan kerja yang rajin, tekun dan setia dengan syarikatnya sejak mula ditubuhkan.
"Memang tidak dinafikan setiap perniagaan pasti banyak ujian yang mendatang. Rujukan saya hanya kepada Allah. Setiap kali ditimpa masalah, saya akan solat hajat dua rakaat, Insya Allah, masalah yang dihadapi dapat diselesaikan," katanya.
Bermula dengan satu produk baja dedaun dikenali sebagai Vita Grow Plus, kini Diversatech yang mempunyai kilang untuk memproses dan mengeluarkan baja di Semenyih sudah mengeluar dan memasarkan enam produk.
Malah, syarikat itu turut menubuhkan tiga anak syarikat pemasaran iaitu Peladang Tech (M) Sdn Bhd, Perintis Pelangi dan SPPM Diversa Sdn Bhd.
Diversatech turut diberikan pelesenan ekslusif menghasilkan dan memasarkan dua produk pertanian hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia iaitu Vita Grow dan Zappa. Menerusi pelesenan itu, Dr Syed Omar dan Prof Madya Dr Ahmad Husni Mohd Haniff, iaitu penyelidik produk berkenaan dilantik sebagai penasihat teknikal, selain memegang ekuiti dalam syarikat berkenaan.
Enam produk syarikat itu ialah Zappa Plus, bahan rawatan benih padi yang dirumus bagi menggalakkan kecergasan anak padi dan bertindak sebagai perisai terhadap serangan kulat serta penyakit.Baja organik Jitu pula dihasilkan bagi memperbaiki kesuburan dan struktur tanah, manakala baja Dammar bagi memberi ketahanan pada pokok padi daripada serangan siput gondang mas.
Baja padi NPK, Mampan pula mampu membantu tanaman mendapat hasil yang maksimum dan baja Robust berfungsi meningkatkan kekebalan pokok secara semula jadi daripada serangan kulat seperti hawar seludang serta karah.
Produk baja Ajib yang dihasilkan menerusi teknologi dari Jerman pula mempunyai enzim aktif dan mikro nutrien lengkap dalam bentuk terlarut, yang diperbuat khusus untuk menampung kekurangan dan mencapai keseimbangan zat makanan dalam tanah tropika untuk tanaman kelapa sawit.
Sidi berkata, beliau menerima tawaran menjual syarikatnya sejak dari tahun pertama membuka kilang baja lagi, tetapi menolaknya kerana tujuannya bukan untuk meraih keuntungan mudah.
"Ketika itu, kilang kami masih menggunakan tangan membancuh baja, tanpa sebarang peralatan moden. Kalau gelap mata, memang lama sudah menerima tawaran itu. Tetapi bagi saya menceburi bidang perniagaan bukan hanya memburu keuntungan.
"Saya berniaga bukan untuk diri sendiri tetapi untuk beri balik apa yang kami dapat kepada masyarakat terutama golongan sasar iaitu petani dan peladang," katanya yang dikurniakan empat cahaya mata berusia antara dua hingga 12 tahun hasil perkahwinan dengan bekas pelakon drama, Tengku Ismawati Badrulzaman.
Sidi berkata, bidang yang diceburi kini jauh berbeza dengan lakonan kerana menerusi perniagaan itu beliau dapat merapati golongan petani dan peladang.
"Syarikat ini bukan saja mengilang dan mengeluarkan baja, tetapi turut memasarkan dan turun padang mengajar petani cara penggunaan dan mengadakan pemantauan. Kajian dan penyelidikan secara berterusan dijalankan bagi memastikan hasil tanaman meningkat.
Bagi memastikan penyelidikan yang berterusan yang sekali gus dapat menghasilkan produk bermutu tinggi, Diversatech yang berpegang kepada slogan 'Kami Membantu Petani Menyediakan makanan Dunia', kini mempunyai 75 kakitangan termasuk tujuh ahli sains dari dalam dan luar negara dalam bidang berkenaan.
Sidi berkata, syarikatnya banyak mendapat sokongan daripada agensi agensi di bawah Kementerian Pertanian seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Mardi dalam usaha memasarkan produk syarikat itu.
Malah, katanya, produk keluaran syarikat itu turut memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya Anugerah Reka Cipta dan Inovasi anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar bagi produk Vita Grow pada 2001, Anugerah Reka Cipta dan Inovasi UPM serta Anugerah Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa Geneva bagi produk Zappa pada 2002.
Wednesday, April 30, 2008
Raih pendapatan lumayan hasil ternak lintah

Abd. Hamid Awang Kecik menunjukkan lintah yang menghisap darah belut di dalam kolam peliharaannya di Sik, semalam.
SIK 24 April - Meskipun bidang pertanian bukan satu kerjaya yang glamor, namun ia menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup memerah keringat di bawah terik matahari dan menempuh pelbagai cabaran.
Ini dibuktikan oleh seorang petani, Abd. Hamid Awang Kecik, 65, dari Kampung Jelutong, dekat sini yang berupaya memperoleh pendapatan lebih daripada RM3,000 sebulan hasil ternakan lintah.
Menurut Abd. Hamid, bidang ternakan lintah dianggap baru dan dilihat mempunyai prospek yang cukup besar.
Katanya, lintah ketika ini menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.
“Masa depan ternakan lintah cerah kerana hidupan tersebut sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.
“Walaupun saya baru menceburi bidang ini, namun setakat ini, ia mampu memberi pulangan lebih RM3,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abd. Hamid berkata, dia menceburi bidang ternakan lintah setelah diperkenalkan oleh kenalannya sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, tanpa mengikuti sebarang kursus, dia cuba mengusahakannya secara sendiri dengan membina kolam di belakang rumah.
“Saya memperoleh anak lintah daripada penduduk kampung dan membela sehingga besar sebelum dijual.
“Kaedah ternakan tidak begitu rumit. Kita hanya perlu menyediakan ikan belut hidup yang dimasukkan ke dalam jaring khas.
“Anak-anak lintah akan menghisap darah ikan belut terbabit dan apabila ikan itu mati, ia perlu digantikan dengan yang baru,” jelasnya.
Tambah bapa kepada enam orang anak itu, setakat ini, dia tidak menghadapi masalah dari segi pasaran memandangkan peraih akan datang membeli setiap minggu.
Katanya, setiap ekor lintah matang berukuran lima hingga 10 sentimeter dijual dengan harga RM1.50 seekor.
“Kadar ini juga bergantung kepada saiz dan kelebaran lintah berkenaan,” ujarnya.
Abd. Hamid memberitahu, dia juga bersedia membantu mereka yang berminat terutama dari segi kemahiran dan teknik-teknik tertentu dalam usaha menceburi bidang tersebut.
Katanya, orang ramai yang berminat membeli lintah atau mendapatkan khidmat nasihat boleh mengunjunginya di Kampung Jelutong, Belantek, Sik, Kedah atau menelefon 013-4332129.
Monday, April 28, 2008
Kursus Cacing 27.04.2008 Seremban.
Kelmarin aku kursus cacing pulak. Kosnya RM50 sahaja(Biras sponser), sekerat hari. Pengajarnya seorang yang baru memulakan ternakan cacing ini dalam dua bulan yang lepas. Cacing yang diternak ini ada dua jenis. Satu jenis cacing rimau dan satu lagi cacing merah. Ini cacing diimpot dari Australia noo, bukan cacing belakang rumah atau yang dikorek diperdu pisang buat pancing ikan. Sekali lagi aku ulang, bukan cacing biasa yang pernah kita kenali sebelum ini. Bukan dan bukan. Harga induk..banyak mahal loo. RM450 sekilo. Harga beli balik cacing ialah RM60 sekilo.
Ternak 2 bulan, sekilo boleh dapat balik cacing 2 kilogram. Depa bela dalam rumah teres. Guna bekas fiber 4 x 6 kaki dan dalam 6 inci. Letak atas rak. Satu rak tiga bekas. Jarak antara bekas 2 kaki. Harga rak ini(completed set) kat area Penang ialah RM1000. Medium cacing ialah 50% tahi binatang( lembu, kambing dan ayam)dan 50% medium lain seperti jerami, habuk kayu, suratkhabar lama dan lain-lain yang dirasakan sesuai. Semua medium ini telah diproses. Prosesnya senang saja. Rendam dalam takung 2 – 3 hari kasi masam dan nyahbau.
Produk lain yang boleh dapat dari cacing ni ialah baja kompos, RM1 sekilo dan air cacing RM10 seliter. Sebulan satu bekas (4’ X 6’) boleh dapat berapa kilo, sori aku tak ingat dah. Nanti balik aku buka buku.
Satu bekas campur dua medium tadi 30 kg sekali letak tahan sebulan. Selepas sebulan dah boleh dapat baja kompos dan boleh jual dapat duit. Untuk mengekalkan kelembapan medium, bekas perlu di siram atau direnjis dua kali sehari pagi petang. Tempat cacing ini perlu tertutup. Ini untuk memudahkan pengawalan dari makhluk perosak, seperti burung, tikus, semut, hama dan lain binatang yang minat kepada cacing. Panas matahari tak boleh kena langsung. Seminit saja, maka cacing akan mati kepanasan.
Sekian dulu, nanti aku dah mula projek ni aku boleh cerita panjang dan bagi paper work sekali dan boleh buat loan MARA. RM30K senang-senang saja dapat. Itu kata pengajar kursus ni lah.
Friday, April 25, 2008
Penternak Kambing Sambilan UM 25.04.2008
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

Hamidon Tambih sering melawat dan memeriksa perkembangan ternakannya di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.
BIDANG penternakan kambing ternyata memerlukan kesabaran yang tinggi selain diiringi minat dan pengalaman yang secukupnya sebelum terfikir untuk menceburinya.
Ramai berpendapat, penternakan kambing merupakan suatu projek yang mudah untuk diusahakan dan mampu meraih keuntungan dalam masa yang singkat.
Sehubungan itu, minat orang ramai terhadap bidang ini semakin mendapat sambutan hangat dan lokasi penternakan boleh dikatakan tumbuh seperti cendawan lepas hujan di negara ini.
Walaupun ini merupakan suatu tanda yang positif kepada perkembangan industri penternakan, namun terdapat golongan yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan hanya menjadikan kejayaan pengusaha lain sebagai alasan untuk mencari keuntungan serta menceburinya.
Sehinggakan, ada individu yang sanggup mencagar aset peribadi bagi menceburkan diri dalam pengusahaan ternakan tersebut. Risikonya jika menjadi pengusaha secara membabi buta ini boleh dikatakan amat tinggi. Ini kerana seseorang pengusaha itu perlu mengetahui selok-belok dunia penternakan sebelum melibatkan diri.
Ia penting bagi menjamin kestabilan pengusahaan yang berterusan dan tidak terhenti separuh jalan disebabkan faktor kerugian yang berpunca daripada tiada perancangan awal.
Bagi seorang penternak, Hamidon Tambih, 39, yang sudah berkecimpung dalam bidang penternakan sejak usia muda lagi, berdasarkan pengalamannya, boleh dikatakan ramai yang berminat untuk menceburi bidang tersebut dan berbelanja ratusan ribu ringgit bagi menceburinya tanpa mendapat pendedahan yang secukupnya.
“Kegelojohan golongan tersebut nyata memakan diri sendiri kerana melibatkan diri tanpa mempunyai pengetahuan asas dalam mengendalikannya. Boleh dikatakan hanya segelintir yang berjaya kekal dalam bidang tersebut.
“Saya bukan hendak menakut-nakutkan golongan yang berminat malah mengalu-alukannya, tetapi nasihat saya kepada umum, kesabaran merupakan elemen yang penting selain disematkan dengan minat bagi menjayakan diri dalam bidang ini,’’ katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Sungai Pelek Sepang, Selangor, baru-baru ini.
Beliau yang masih menyandang jawatan pengurus projek kanan di sebuah syarikat kontraktor ketika ditemui nyata tidak kedekut untuk berkongsi pengalamannya sejak mula melibatkan diri dengan dunia penternakan sehingga ke hari ini.
Semuanya bermula daripada bapanya yang mengusahakan ternakan lembu, secara tidak langsung minat untuk menjadi penternak sudah dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.
Tambah beliau, minat untuk menceburkan bidang penternakan kambing bermula selepas menerima hadiah anak kambing yang baru dilahirkan daripada hasil ternakan kambing secara kecil-kecilan.
Bermula dari detik itu, Hamidon berazam untuk memperluaskan bidang ternakan pada suatu hari kelak. Lebih menarik, berkat simpanan wang saku semasa berada di zaman persekolahan, beliau memulakan ternakan secara kecilan dengan 15 ekor kambing.
Ekoran itu, beliau lebih suka meluangkan masa dengan kambing ternakannya daripada membazir masa dan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Namun, dalam sibuk membantu bapanya dan menjaga ternakannya sendiri, pelajaran tetap diutamakan.
Berlandaskan disiplin diri yang tinggi dan pengurusan masa yang terancang beliau boleh juga dikatakan cemerlang dalam bidang akademiknya. Justeru itu, selepas menamatkan zaman persekolahan, beliau mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Oleh yang demikian, beliau hanya berpeluang untuk menjaga kambing pada cuti semester.
Sementara beliau sibuk mengejar segulung ijazah, kesemua ternakannya dijaga dan diuruskan oleh bapanya.
Selepas menamatkan zaman universitinya pula, beliau telah mendapat tawaran bekerja yang memerlukan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Ini menyebabkan beliau tidak boleh memfokus terhadap bidang ternakan pada ketika itu, walaupun begitu, beliau masih tetap mahu meneruskan ternakan kambing walaupun terikat dengan pekerjaannya.
Kambing-kambing yang dibelanya hanya dijual kepada jiran-jiran dan kenalan untuk dijadikan sajian bagi majlis kenduri-kendara.
Pada ketika itu, beliau mengekalkan antara 20 dan 30 ekor kambing ternakan yang dibantu oleh bapanya.
Setelah projek di Pulau Pinang itu berjaya diselesaikan, beliau berpindah pulang dan mengambil keputusan untuk menternak kambing secara komersial. Dalam pada itu juga, beliau bersama bapanya telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi mengusahakan ternakan lembu dan beralih kepada ternakan kambing secara optimum.
Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti permintaan kambing lebih tinggi berbanding lembu masa kini serta kos pemakanan yang tinggi.
Kini, impian Hamidon menjadi kenyataan kerana beliau mempunyai 300 ekor kambing yang terdiri daripada jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.
Kini, beliau bukan sahaja memelihara baka induk yang berkualiti, malah membekalkan daging, susu serta mempunyai rumah sembelih sendiri di ladang penternakannya. Mempunyai sebidang tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) itu, beliau membina sebuah kandang yang dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi mengasingkan kambing-kambing ternakannya itu.
Kandang yang dibina itu mampu menampung kapasiti sehingga 400 ekor kambing pada suatu masa.
Ancaman penyakit
Tambah beliau, beliau membelanjakan sekitar RM3,000 sebulan bagi membeli palet yang termasuk dalam kos pemakanan ternakan. Secara purata, dianggarkan kos pemakanan bagi seekor kambing adalah pada RM15 hingga ke RM20 sebulan.
Hamidon menambah, kambing-kambing beliau merupakan kambing yang diimport dari Australia dan Indonesia. Beliau lebih cenderung untuk membela kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen berbanding kambing Katjang (baka tempatan). Ini adalah kerana saiz baka kambing tempatan adalah lebih kecil walaupun mempunyai diet pemakanan yang sama seperti kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.
Dari segi permasalahan pula, beliau menjelaskan kambing-kambing ternakannya perlu dijaga dengan teliti kerana sekiranya seekor kambing diserang ancaman penyakit seperti kurap, kambing tersebut perlu diasingkan dan dirawat sebelum ia menjangkiti kambing-kambing lain.
Jelasnya lagi, beliau pernah meminjamkan kambing jantan milik beliau kepada seorang pengusaha lain untuk tujuan baka.
Disebabkan pengusaha tersebut tidak menjaga kebersihan kandang ternakannya serta tidak mengambil berat aspek kesihatan ternakan, kambing baka yang dipinjamkan itu dijangkiti kurap. Beliau amat kesal dan sedih apabila kambing tersebut dipulangkan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, kambing tersebut disuntik dengan vaksin anticacing, Ivomax dan kemudiannya beliau menyapu minyak hitam pada bahagian yang dijangkiti. Jangkitan kurap pada kulit kambing tersebut didapati tanggal selepas tempoh dua minggu dan selepas tempoh sebulan, bulu sudah mula tumbuh kembali.
Kaedah ini dikatakan sangat efektif dan beliau turut memberitahu bahawa kos rawatan yang dibelanjakan hanya pada sekitar RM300 ke RM400 sebulan untuk seluruh ternakannya.
Pernah suatu ketika beliau mengalami pengalaman pahit apabila 40 ekor kambing ternakannya mati akibat serangan cirit-birit ekoran masalah banjir.
Keistimewaan penternak kambing ini ialah dia boleh mengenali setiap kambing ternakannya dari segi usia dan dari baka mana terhasil walaupun kesemua kambing tersebut kelihatan agak serupa.
Itu antara kelebihan beliau walaupun hanya mengunjungi ladang ternakannya pada hujung minggu kerana sibuk dengan urusan pejabatnya.
Beliau bersama-sama tiga orang pekerjanya membuktikan bahawa kesabaran perlu disematkan sekiranya ingin berjaya dalam bidang pengusahaan ternakan ini selain faktor minat dan pengetahuan asas yang secukupnya.
Bagi sesiapa yang berminat serta ingin mendapatkan khidmat nasihat boleh menghubungi Hamidon Tambih di talian 019-2304735.
Info:
- Kerajaan menyasarkan meningkatkan kadar pengeluaran daging kambing 6.7 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan(RMK-9)
- Bagi mencapai sasaran tersebut, negara memerlukan sejuta ekor kambing dengan bilangan pembiak 380,000 ekor dan bilangan disembelih mencapai 300,000 ekor setahun menjelang 2010.
- Kerajaan telah merangka beberapa program, antaranya membangunkan 200 ladang ternakan kambing dan biri-biri secara komersial dan membangunkan 29 kawasan tumpuan sasaran.
- Dasar Pengeluaran Kambing Negara, antara lain meningkatkan tahap sara diri pengeluaran daging kambing menjelang 2010 daripada 9 peratus kepada 35 peratus.
- Salah satunya ialah pembangunan Pusat Pengeluaran Kambing Boer Negara yang di kenal pasti di kawasan seluas 405 hektar di Pondok Tanjung, Taiping, Perak.
- Pada masa ini, bilangan penternak kira-kira 23,000 orang.