Saturday, October 27, 2007

Petikan rencana wawancara dengan Menteri PIAT

Rencana Utusan Malaysia 27 Oktober 2007 (Sabtu)

Angkat agenda pertanian Melayu


TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
--------------------------------------------------------------------------------



MUKADIMAH
Apabila kira-kira 1,000 peserta yang majoritinya pemimpin-pemimpin UMNO peringkat bahagian berhimpun selama dua hari bermula hari ini, mereka mempunyai satu tanggungjawab untuk membawa isu pertanian di bahagian masing-masing.

Wawancara berikut menjelaskan betapa pentingnya cengkaman orang Melayu ke atas pertanian diperkukuhkan memandangkan mereka merupakan majoriti yang mengisi senarai kira-kira 800,000 keluarga tani di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin meletakkan harapan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 ini yang melibatkan beberapa tokoh sebagai panel, dapat menyelongkar dan menelusuri aliran pemikiran dan membuka minda orang Melayu terhadap pertanian.

‘‘Pertanian bukanlah satu-satunya isu yang perlu diberi perhatian tetapi keseluruhan pemikiran orang Melayu itu sendiri,” ujarnya dalam wawancara khas LAUPA JUNUS bersama beliau baru-baru ini.

Konvensyen selama dua hari di Seremban itu penting dalam mengupas isu dan permasalahan orang Melayu dalam pertanian supaya mereka mempunyai perspektif lebih luas dalam bidang tersebut.

Berikut wawancara penuh.

Apa isu yang dijangka dibangkitkan?

MUHYIDDIN: Daripada kertas kerja oleh beberapa tokoh sebagai panel seperti Tan Sri Mustafa Babjee mengenai konsep pertanian baru serta profesional dari Universiti Putra Malaysia (Prof. Fatimah Arshad) dan isu modal insan ia satu topik yang menarik untuk dibincangkan.

Satu lagi tajuk yang menarik ialah mengenai peluang-peluang orang Melayu yang saya jangka dibincangkan dengan hangat.

Yang pentingnya ialah percambahan pemikiran dapat diwujudkan pada awal konvensyen. Suka saya sebut, konvensyen ini agak berbeza dengan yang biasa kerana kita mulakan dengan forum, bukan hanya bengkel dan diikuti dengan resolusi.

Bengkel dimulakan dengan mengenai keagamaan dalam pertanian melibatkan tokoh pakar agama bagi melihat industri pertanian daripada perspektif Islam.

Forum kedua Melayu bertajuk Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang melibatkan Tun Musa Hitam ,Prof. Ungku Aziz, Tan Sri Arshad Ayub dan Prof. Mahani Zainal Abidin yang saya fikir boleh mencetuskan idea baru. Mungkin mereka akan mencabar perwakilan yang hadir untuk berfikir mengenai pertanian dalam perspektif baru.

Bukanlah soal pertanian semata-mata tetapi isu minda Melayu itu sendiri.

Konvensyen kali ini isunya mengkhusus kepada bumiputera dalam pertanian. Pemodenan yang menjadi elemen penting dalam Dasar Pertanian , bagaimana ia diterjemahkan untuk meningkatkan pendapatan petani?
MUHYIDDIN: Salah satu objektifnya ialah bagaimana kita meningkat teknologi perladangan untuk petani. Sudah tentu konvensyen akan memfokus lebih kepada untuk meningkatkan kemajuan orang Melayu dalam pertanian.

Kita perlu memodenkan mereka supaya mengeluarkan produk, lebih cekap, efisien untuk memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

Salah satu strategi yang dirangka Dalam Dasar Pertanian Negara ialah untuk memodenkan pertanian.

Ia dapat dilakukan dengan memodenkan petani baru , mempunyai minda baru yang melihat pertanian kepada perspektif baru mempunyai kemahiran, kemampuan yang mencecah kepada pertanian baru.

Ini memerlukan modal insan. Isu lain ialah bagaimana misalnya, amalan pertanian atau teknik pertanian diaplikasikan termasuk juga. Amalan Pertanian Baik (GAP).

Di kalangan orang Melayu, amalan ini masih kurang. Mereka masih tidak dapat meningkatkan pertanian mereka . Cara mudah mengurus pertanian. Oleh itu, ia memberi kesan kepada kurangnya produktiviti (pertanian) orang Melayu, inilah masalah kedua.

Masalah ketiga ialah aplikasi teknologi. Bercakap mengenai teknologi ini, ia bukan setakat peralatan atau kelengkapan tetapi juga sistem.

Mereka perlu menggunakan teknologi baru, (tetapi) mesin moden sebagai contoh, masih kurang di ladang (orang Melayu).

Saya percaya kurang 10 peratus petani memiliki mesin moden, pertanian jentera atau peralatan. Kebanyakan mereka bergantung kepada kerajaan, khusus Lembaga Pertubuhan Peladang.

Isu lain ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pertanian yang belum mencapai tahap memuaskan atau masih terlalu minimum. Oleh itu, masih banyak masalah perlu dihadapi dan melibatkan melibatkan hal-hal yang penting.

Dalam masa sama banyak institusi dan agensi kerajaan berubah. Apakah yang mereka buat untuk membantu petani mengubah minda?

MUHYIDDIN: Saya fikir, kita setuju (bahawa) agensi kerajaan mempunyai peranan penting untuk mengubah minda.

Satu aspek lain ialah di peringkat kerajaan kita hendak buat beberapa perkara termasuk melatih kakitangan supaya berfikir bahawa pertanian sebagai satu perniagaan.

Apa yang berlaku sejak sedekad lepas, mereka (kakitangan kerajaan), lebih kepada teknokrat atau sebagai ahli teknikal untuk membantu petani menanam.

Ia bukan untuk memberitahu petani cara untuk memasarkan. Inisiatif yang diambil oleh kementerian ialah pegawai perlu menghadiri kursus yang berorientasikan subjek berkenaan pemasaran. Ini akan dilakukan di semua peringkat kementerian. Kursus ini juga melibatkan pembangunan produk, inovasi, penyelidikan yang dibangunkan oleh institusi seperti MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) yang boleh dimanfaatkan oleh petani termasuk juga pengkomersialan.

Saya telah meminta MARDI bergerak selangkah lagi dengan melihat aspek selepas penyelidikan.

Jangan berhenti setakat di makmal.

Dengan membangunkan program inkubator misalnya ia membolehkan penyelidik dan pertanian berpotensi serta ahli perniagaan bekerjasama, dengan membangunkan produk ke pasaran.

Ini sudah kita mulakan tetapi ada isu lain seperti dana. Kita perlu juga memulakan penggunaan aplikasi teknologi baru MARDI seperti kultur tisu untuk membekalkan baka lenih cepat berbanding cara lama.

Salah satu masalah ialah mereka yang terlibat kebanyakannya terdiri daripada golongan berusia sedangkan ia menggunakan teknologi baru.
MUHYIDDIN: Ini tidak dapat kita elakkan tetapi mana-mana petani yang ada sekarang yang boleh kita latih semula, mungkin terhad sahaja, akan diusahakan ke arah itu

Ia dilakukan menerusi program perkhidmatan pengembangan. Pada zaman British dahulu , kita beri tumpuan melatih petani di ladang.

Ini kerana mereka tidak ada masa untuk menyertai kurus formal. Oleh itu kita latih mereka secara in situ.

(Namun) beberapa tahun kemudian , program ini agak berkurangan kerana jumlah pegawai pun menurun.

Apabila kita hendak meletakkan pertanian kembali di atas, program memperkukuhkan semula perkhidmatan tersebut akan dilaksanakan.

Sekarang kita mula perkukuhkan bahagian pengembangan pertanian, hendak mencari lebih pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah luluskan lebih banyak jawatan.

Tetapi ia tidak boleh mengatasi semua masalah, kita hendak menarik golongan muda menyertai pertanian. Bagaimana hendak menarik mereka menyertai bidang maka mind set perlu berubah.

Jangan melihat pertanian itu selekeh, tidak glamor, tradisional, miskin dan tidak menguntungkan. Perkataan-perkataan seolah olah sudah sinonim. Kita perlu berubah tetapi tidak berlaku kalau bercakap sahaja.

Oleh itu kita hendak mengubah corak dan cara supaya petani akan datang melihat kepada teknologi, ICT.

Supaya mereka melihatnya sebagai menarik, bukan masuk kaki dalam selut.

Yang penting kita boleh beri gambaran (kepada generasi muda) bahawa bidang pertanian menjanjikan masa depan yang cerah dan menganggapnya sebagai perniagaan.

Ini tagline yang saya perkenalkan supaya semua orang tahu pertanian bukan sekadar pertanian per se tetapi satu perniagaan dan ramai orang telah kaya kerana menceburi pertanian.

Kita akan melihat kepada program latihan dan golongan muda ini boleh ditingkatkan kelulusan mereka, supaya lebih baik berbanding ibu bapa. Mereka dapat peluang lebih untuk berjaya.

Saya bercadang untuk memperbanyakkan kursus dan ia lebih fokus kepada pertanian sebagai satu perniagaan.

Berapa banyak institusi latihan sedia ada?

MUHYIDDIN: Terdapat 42 institusi latihan perikanan, pertanian dan haiwan di bawah jabatan berbeza. Mungkin kita akan letakkan (institusi latihan) dalam satu jabatan.

Ada keperluan untuk melihat semula kurikulum termasuk berapa lama kursus dan menjadikan kursus lebih menarik. Dulu mereka anggap pertanian sebagai pilihan terakhir.

Satu lagi isu hanya mereka yang ada tanah terlibat dalam pertanian. Bagaimana pula kumpulan yang yang tidak memiliki tanah?

MUHYIDDIN: Ini masalah mind set, ini masalah anda, masalah saya, masalah kita.

Kebanyakan orang Melayu berhenti setakat di ladang sedangkan pertanian melibatkan pelbagai aspek seperti pembungkusan, penjenamaan, eksport dan pelbagai aktiviti lain.

Siapakah yang terlibat dalam golongan ini (aktiviti di luar ladang). Mereka yang terlibat ialah mereka yang bukan memiliki ladang tersebut.

Saya beritahu anda, mengenai kes penanam padi, 90 peratus mereka yang membuat wang ialah mereka yang di luar kawasan ladang (seperti) orang tengah, pemproses, pengilang, yang menggredkan.. penuai..

Saya fikir kurang lima peratus mereka yang terlibat bukan pemilik tanah (ladang). Satu lagi yang menarik saya kajian kejayaan usahawan Melayu dan Cina. Di kawasan di Pagoh, ada seorang Cina yang menjadi pengeksport betik terbesar ke Singapura. Tetapi tidak ada kawasan penanam betik pun yang luas di kawasan saya itu.

Hanya ada ada sedikit iaitu 20 ekar. Saya tanya dia macam mana boleh jadi pengeksport betik ke Singapura. Dia beritahu saya, bahawa dia menyewa tanah di merata tempat, dan kebanyakan milik orang Melayu.

Oleh itu anda tidak semestinya menjadi pemilik tanah (untuk terlibat dalam pertanian). Anda boleh menyewa atau memajak.

Apa yang saya hendak katakan, kalau tanah menjadi isu,..tapi ada orang yang memiliki tanah pun tidak berbuat apa-apa di situ pun.

Saya fikir ini, bukan isu tidak ada tanah, tidak ada modal, tidak ada wang, tidak ada kredit, tetapi kerajaan Malaysia memberi banyak kredit untuk sektor pertanian berbanding banyak negara lain.

(Pada masa sama) memang tidak semua berjaya memperoleh pinjaman, hanya yang layak sahaja.

Oleh itu semua jadi masalah, modal, kewangan, modal pun , pemasaran pun masalah, syarikat besar pun menghadapi masalah pemasaran.

Anda tahu, antara masalah syarikat besar ialah pemasaran.

Tetapi masalah di negara ini, apabila mereka menghadapi masalah pemasaran, mereka serahkan kepada kerajaan untuk selesaikan, tolong jual makanan, jual sayur-sayuran saya. Ia berlaku kerana mereka masih berfikir hanya sebagai pengeluar sahaja. Ini masalah petani Melayu, kebanyakan mereka macam ini.

Mereka jadi penanam sahaja, kalau tidak boleh jual, serah kepada kerajaan, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), kalau tak jual marah kepada kerajaan.

Mereka sepatutnya tanam di mana ada pasaran. Inilah cabaran petani moden, menukar minda.

Berapa jumlah petani sekarang?

MUHYIDDIN: Perangkaan 2005 menunjukkan ada 800,000 keluarga petani melibatkan semua.. Melayu, Cina, India.

Saya percaya 70 atau 80 peratus merupakan Melayu dari segi angka.

Namun pertanian penting dalam industri pertanian, kita bukan hanya meningkatkan pertanian semata-mata dan faedahnya bukan untuk jumlah itu sahaja.

Perlu ada limpahan kepada semua. Kalau saya mengeluarkan sayur-sayuran, anda jualkanya untuk saya, oleh itu anda memperoleh perniagaan dan begitulah seterusnya kepada pihak lain.

Dalam pertanian ada perniagaan tetapi malangnya kita tidak ambil peluang. Untuk itu kita mahu melibatkan orang Melayu dalam rantaian bekalan ini.

Bagaimana pula bidang pertanian dapat dimajukan menerusi pelaksanaan Wilayah Pembangunan Ekonomi Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)?

MUHYIDDIN: Saya rasa pertanian menjadi signifikan kerana kedua-keduanya dan yang lain yang akan dilancarkan, bidang ini akan menjadi antara dua atau ketiga terpenting.

DI NCER pertanian bidang terpenting selain perkhidmatan dan pelancongan. Saya percaya di ECER yang dilancarkan hujung bulan ini, pertanian akan diiktiraf antara yang penting.

Maknanya, pertanian menjadi semakin penting dan boleh membuka peluang untuk mereka melibatkan diri, membantu petani sedia ada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup.

Bagaimana pelabur Melayu boleh bergerak ke luar negara?

MUHYIDDIN: Ia penting tetapi konvensyen ini memberi penekanan apa yang hendak dibuat, banyak isu yang perlu ditangani. Hal itu ( ke luar negara) bukan tidak penting , tetapi yang kita harap (daripada konvensyen) supaya dapat mengukuhkan orang Melayu dalam pertanian.

Bagaimana hendak meningkatkan mereka. Ini paling penting memodenkan mereka. Sekiranya hendak minta mereka ke luar negara, mereka berhadapan senario berbeza.

Pembangunan global menuntut orang Melayu dan yang lain dengan benda baru. Kalau tidak memenuhi kualiti produk, tidak dipromosi dengan baik bagaimana hendak jual.

Kita mahu perkukuh di peringkat sini dahulu dan buat supaya lebih kompetitif, moden.

Selain program bersifat akademik selama dua hari ini apakah yang boleh dilakukan seterusnya?

MUHYIDDIN: Konvensyen ini diharap dapat meningkatkan minat dan peluang menceburi pertanian. Sudah tentu selama dua hari tidak dapat menyelesaikan semua benda, tetapi ada beberapa tokoh yang bertindak sebagai panel membuka mata dan mencabar pemikiran peserta. Ini permulaan bagus tetapi bukan berakhir di situ.

Saya harap ialah mencapai objektif dan ada resolusi, bagi menentukan apa yang boleh dilakukan selepas itu.

Biro pertanian yang saya pengerusikan membentuk pasukan yang pakar dan layak untuk melihat, cara untuk menyelesaikan (masalah) dan hantar kepada kerajaan apa yang perlu dilakukan mengenai soal dasar saya tidak dapat menjangkakannya.

Ada kemungkinan peserta dan tokoh tidak mencapai titik pertemuan kerana petani menceritakan hanya masalah mereka di ladang yang biasa diutarakan sedangkan tokoh membicarakan isu lain?

MUHYIDDIN: Tidak mengapa kerana ia masalah realiti mereka dan inilah peluang panel menjelaskan semua.

Kadang-kadang (corak) pemikiran mereka tidak betul . (Misalnya ) kalau saya menghadiri mana-mana sesi pertemuan, dialog, itulah yang dibangkitkan berulang kali.

Saya boleh baca, isu yang akan dibawa seperti bantuan kerajaan tak sampai, tidak dibantu. Bagi saya ia okey.

Mukadimah - Blog Usaha Tani secara profesional

Blog ini bertujuan untuk mengumpul semua info dan perkembangan semasa mengenai industri pertanian di Malaysia. Ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memajukan industri ini. Segala maklumat samada dari media massa, internet dan kajian dari pengendali blog ini akan cuba dibentangkan di sini.

Seterusnya, blog ini bertujuan untuk menyediakan maklumat awal mengenai projek-projek yang menjadi tumpuan pengendali blog ini. Seperti projek ternakan kambing, ayam dan pengeluaran cendawan tiram.

Semoga kita dapat sama-sama memanfaatkan blog ini.