Friday, February 20, 2009

Tanaman serai kini dikomersial

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Rencana/20090220094958/Article/index_html
Serbuk, minyak dari ekstrak spesies herba kaya khasiat perubatan berpotensi dieksport ke seluruh dunia

MOHD ALWI menunjukkan ladang serai seluas 300 hektar yang dipajak daripada syarikat Tradewind Bhd di Padang Terap.

SERAI atau nama saintifiknya 'Cymbopogen citratus' suatu ketika dulu hanya ditanam secara kecil-kecilan di belakang rumah dan dituai segar dengan batangnya dijadikan perisa masakan, terutama kari, tomyam, kerabu dan rendang.
Namun perkembangan pesat sektor bioteknologi menjadikan tanaman serai secara komersial seperti satu fenomena baru yang melanda masyarakat negara ini, terutama sejak kebelakangan ini. Semakin ramai yang memperkatakan mengenai potensi tanaman itu yang menjanjikan pendapatan lumayan.
Serai yang juga sejenis tanaman rumput beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat, dikatakan berasal dari Sri Lanka dan tersebar luas di kawasan tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China.
Pada setiap rumpun terdapat banyak batang yang tumbuh daripada rizom. Batangnya berwarna putih keunguan atau kemerahan, manakala daunnya tirus, melampai serta panjangnya antara 60 hingga 100 sentimeter (sm), manakala lebar antara satu hingga 1.5 sm.
Dari aspek perubatan, kandungan `citral' dalam serai berkesan untuk membantu proses pencernaan, melegakan kekejangan, ketegangan otot, sengal-sengal, merawat selsema, batuk, kanser dan sakit kepala. Pati minyaknya pula serai membantu meredakan senak dalam perut disebabkan angin dan membantu mengurangkan bau badan.
PENDUDUK kampung menjalankan kerja memotong daun dan mengikat serai yang diusahakan syarikat Era Budi Management Sdn Bhd di Kelantan.
Serai juga membantu menurunkan suhu badan serta bersifat antiseptik, manakala kandungan tonik di dalamnya akan merangsang sistem badan dan bertindak sebagai pelali terhadap sistem saraf pusat.
Di negara ini, antara serai yang popular di kalangan pengusaha ialah serai paha ayam, serai hijau, serai telur, serai gajah dan serai wangi.Menyedari potensi besar tanaman itu, sebuah syarikat Bumiputera, Era Budi Management Sdn Bhd (EBMSB) mengorak langkah sejak empat tahun lalu mengusahakan tanaman serai bermula di Jeli dan Gua Musang, Kelantan secara kecil-kecilan.
Presiden EBMSB, Datuk Mohd Alwi Mohd Noor, berkata selepas mendapati serai mempunyai pasaran meluas, syarikatnya mula menambah keluasan tanaman itu kepada 100 hektar di Kelantan mulai 2007.
Sejak beberapa bulan lalu, syarikat itu melebarkan operasinya ke Kedah dengan memajak bekas ladang tebu Gula Padang Terap Sdn Bhd (GPTSB) milik Tradewind Bhd. Syarikat itu sudah melabur hampir RM1 juta untuk projek berkenaan.
Bagi fasa pertama, syarikat itu memajak 2,000 hektar tanah pamah dan beralun di bekas ladang tebu di Padang Terap dan setakat ini 300 hektar sudah diusahakan dengan tanaman serai yang mana ia ditanam di baris kosong antara tanaman getah.
Katanya, selain mengusahakan sendiri syarikat itu juga menggalakkan individu atau syarikat yang berminat menjalin kerjasama mengusahakan tanaman itu melalui konsep penanaman kontrak.
Beliau yang berkelulusan Diploma Perguruan dari Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan, selain mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan melihat potensi penanaman serai amat luas kerana tumbuh-tumbuhan itu digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Mohd Alwi, 35, yang sebelum ini bergiat dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkata, hasil penyertaannya dalam satu persidangan herba dan makanan di China beberapa tahun lalu mendapati potensi serai amat besar yang mana nilai dagangan produk berasaskan bahan itu mencecah AS25 bilion sehari di seluruh dunia.
"Serbuk atau minyak dari ekstrak serai digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang pembuatan, termasuk farmaseutikal, makanan, minuman, pencuci, penyegar udara dan kosmetik di seluruh dunia dan pengeluarannya tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi.
"Harga pasaran serai dalam bentuk serbuk misalnya mencecah RM15,000 setan metrik, manakala ekstrak minyak pula sehingga RM24,000 seliter."Bahan mentah syarikat ini kebanyakannya dieksport ke China, Korea, Jepun, Kanada dan Singapura," katanya yang kini menggaji 60 pekerja Bangladesh di ladang serainya di Padang Terap.
Syarikat itu juga mengusahakan tanaman itu di beberapa negeri lain, termasuk Selangor, Pahang dan Johor, tetapi ladang di Kedah adalah paling besar. Selain serai, syarikatnya juga sudah memulakan tanaman depu atau gaharu di Kelantan dan Kedah.
Thailand sudah lama mengusahakan tanaman ini secara komersial dan sebagai buktinya negara itu mempunyai ladang serai seluas 800,000 hektar.
Mohd Alwi berkata, serai amat mudah ditanam kerana ia tahan lasak dan satu-satunya musuh tanaman itu ialah ulat pengorek batang yang boleh menyebabkan tanaman itu mati.
Katanya, serai biasanya dijadikan tanaman kontan sementara menunggu pokok getah atau kelapa sawit besar sehingga enam tahun, selain sesuai ditanam di kawasan buah-buahan.
EBMSB tidak bersendirian dalam mengusahakan tanaman serai, sebaliknya turut mendapat bimbingan Jabatan Pertanian serta penyelidikan dan pembangunan daripada Mardi dan penyelidikan universiti tempatan.
Syarikat itu kini dalam proses menjalin kerjasama dengan GPTSB untuk menggunakan sebahagian kemudahan di kilang tebu di situ untuk memproses serai menjadi serbuk dan ekstrak minyak.
Katanya, beliau menjangkakan syarikat itu mampu memperoleh pulangan kira-kira RM250 juta hasil serai dalam bentuk separa proses pada tahun ini dan sasarannya pada 2010 memiliki tanaman serai seluas 8,000 hektar.
InfoSerai
· Boleh dituai selepas enam bulan ditanam.
· Setiap rumpun biasanya ditanam dengan empat anak benih yang ditanam condong untuk menggalakkan pembiakannya.
· Setiap rumpun mampu menghasilkan sehingga empat kilogram tuaian.
· Setiap kawasan seluas 0.4 hektar boleh menghasilkan antara 10 hingga 15 tan metrik semusim (enam bulan) dengan pulangan lebih RM10,000.
· Untuk hidup subur, serai memerlukan kawasan yang tidak terlalu terlindung dan cukup cahaya matahari, manakala tanah yang sesuai ialah tidak digenangi air.

3 comments:

zul5852 said...

saya ada mengusahakan ldg serai peha ayam seluas 100 ekar di johor.berminat utk dptkan bekalan?saya juga ada cadangan utk membuat serbuk serai tapi tak tau cara & pasarannya.pada asalnya saya membuat kontrak farming tp kena tipu!!kepala dah mcm nak tercabut pikir benda ni.

saney said...
This comment has been removed by the author.
saney said...

saya ada serai peha ayam yang sedia utk dpasarkan.Harga RM1.50/kg siap diproses. Berminat dan utk keterangan lanjut sila hubungi 0123061373.