Friday, July 25, 2008

Mari menternak rusa pulak

Menternak rusa tidak sesukar disangka -Agrobiz UM 25.07.2008

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

kos pemeliharaan rusa juga amat rendah kerana haiwan ini makan sisa soya, sawit dan buah-buahan yang boleh didapati dari pasar.

TENTU ramai yang menyangka penternakan rusa merupakan industri ‘mewah’ apatah lagi biasanya rusa dipelihara oleh golongan bangsawan dan tokoh korporat serta di kawasan taman.

Malah, ramai menganggap rusa sebagai ternakan eksklusif yang tidak ramai mampu mengusahakannya manakala pasarannya pula tidak meluas sebagai mana ternakan lain.
Justeru apabila mendapat tahu terdapat sebuah ladang ternakan rusa dengan kira-kira 800 ekor, penulis begitu teruja untuk meninjau dari dekat.

Ladang yang terletak berhampiran kawasan perumahan di Jalan Bunga Raya, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor seluas lapan hektar di dua buah tapak berlainan bukan saja dihuni oleh rusa tetapi juga 25 ekor burung unta, ayam serama, keldai dan kuda padi.

Pemiliknya yang juga Pengarah Urusan Hitech Livestock Exotic Farm, Mohamed Akbar yang memulakan industri penternakan lebih 15 tahun lalu dengan kambing dan lembu mula mengalih pandangan kepada rusa sejak tujuh tahun lepas.

Ditanya, faktor pendorong beliau beralih arah, Mohamed berkata, menternak rusa menguntungkan kerana kos operasinya amat kecil berbanding ternakan ruminan lain.

“Rusa tidak memerlukan kandang yang besar seperti kambing atau lembu tetapi cukup dengan kawasan lapang dan beberapa batang pokok besar sebagai tempat mereka berteduh.

“Malah kos makanannya juga kecil kerana saya menggunakan campuran hampas soya, sawit dan pelbagai jenis buah-buahan yang diambil dari pasar berdekatan,” katanya kepada Mega semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Malah rusa juga tidak memerlukan padang ragut yang rata tetapi cukup dengan sedikit kawasan hijau berbukit-bukit dan berbatu-batu kerana sebagai haiwan liar, rusa gemarkan tempat mencabar.

Mohamed menambah kos perubatan bagi rusa amat minimum berbanding ternakan ruminan lain.

“Sejak memelihara rusa secara komersial saya hanya mengeluarkan hanya beberapa ratus Ringgit sebulan saja untuk ubat cacing dan vitamin,” katanya yang memelihara rusa jenis Timorensis dan Axis yang berbintik-bintik.

Mohamed menambah, rusa senang dipelihara kerana tidak mudah terkena penyakit berjangkit malah sebagai haiwan liar, rusa boleh mengubati dirinya sendiri.

Rusa matang seawal usia 18 bulan dan betina bunting selama lapan bulan sebelum beranak sebanyak seekor.

Rusa betina boleh beranak sebanyak 15 hingga 16 kali dengan jangka hayat boleh mencapai 20 hingga 25 tahun.

Biasanya induk rusa akan menyorokkan anaknya di bawah batu atau rumput sehingga anaknya bercerai susu.

Menggunakan khidmat empat orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Mohamed berkata, kawasan yang tidak luas membolehkan ibu menjaga dan menyusukan anaknya.

“Jika penternakan diusahakan di kawasan yang terlalu luas, mungkin penternak terlepas pandang anak rusa yang disorokkan.

“Ini dapat mengelakkan anak rusa daripada mati kelaparan jika tidak dijagai ibu mereka,” katanya yang telah memahami kelakuan haiwan berkenaan.

Menternak rusa lebih menguntungkan walaupun bukan untuk daging kerana rusa betina akan beranak setiap tahun manakala tanduk rusa jantan pula akan luruh setiap tahun.

“Harga tanduk jantan basah boleh mencecah sehingga RM500 dan yang kering pula menjangkau RM3,000,” katanya yang boleh dikatakan antara penternak yang memelihara paling banyak rusa di negara ini.

Kawasan yang kecil juga membolehkan penternak mencari tanduk setiap kali gugur di padang ragut.

“Biasanya pekerja saya menemui tanduk yang gugur dan tentu saja sukar jika rusa diletakkan di ladang ternakan yang luas,” katanya.

Permintaan :
Menyentuh mengenai daging rusa, Mohamed Akbar berkata, harga daging rusa pula boleh mencecah sehingga RM50 sekilogram jika dijual sendiri.

Permintaan daging rusa amat tinggi terutamanya di hotel-hotel lima bintang kerana ia dikatakan makanan mewah.

Selain rusa, beliau juga memelihara lima ekor nilgai - haiwan dari Amerika Syarikat (AS) - kepalanya seperti rusa tetapi badan besar seperti lembu dan belakangnya seperti kuda.

“Dagingnya sama seperti rusa dan saya lihat haiwan berkenaan berpotensi untuk dipelihara di sini,” katanya yang mendapat galakan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sesiapa yang berminat memelihara rusa, Mohamed menyediakan pakej penternakan yang sesuai dan berpatutan.

Mereka yang berminat boleh membeli satu petak kandang seluas 30 kaki x 50 kaki pada harga RM2,000 yang boleh menempatkan sehingga 50 ekor rusa pada satu satu masa.

Bagi mengisi petak berkenaan, Mohamed menawarkan rusa betina bunting pertama yang bakal beranak dengan harga berpatutan seekor.

“Mereka boleh berkongsi satu petak dengan rakan dan membeli beberapa ekor rusa untuk diletakkan di dalamnya.

“Kami hanya akan mengenakan kos penyelenggaraan yang minimum bagi satu petak serta kos makanan rusa,” katanya.

Apabila rusa tadi beranak, pemilik boleh memilih sama ada untuk menjual anak tadi kepada Mohamed atau terus memeliharanya di sana.

“Setiap minggu pemilik boleh membawa makanan sendiri untuk diberikan kepada rusa mereka malah mereka juga boleh membawa balik beberapa hari,” katanya.

Mohamed berkata, ini merupakan satu cara untuk mencetuskan minat mereka yang berada di bandar ke arah penternakan.

Penduduk bandar yang tidak mempunyai masa dan kawasan masih boleh melibatkan diri dalam penternakan dengan cara ini.

“Saya juga boleh memantau ternakan yang dibeli dapat penjagaan yang betul dan pada masa yang sama pemilik boleh mempelajari cara penternakan yang betul,” katanya.

Dengan cara ini kata Mohamed, ternakan rusa boleh dimajukan dengan lebih sistematik. Beliau juga akan memulakan kursus menternak rusa secara komersial kepada mereka yang berminat dalam masa terdekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mohamed di 017-3458849 atau layari laman web http://www.hitechdeerfarm.com/


Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=AgroBiz&pg=ag_01.htm


Nota: Laman web seperti yang dinyatakan terdapat Kursus Menternak Rusa seperti ini:


Kursus Penternakan Rusa


Tarikh : 19 - 20 Julai 2008 (tarikh sudah lepas, mungkin nanti ada tarikh baru)


Tempat : Hitech Deer Farm, Rawang, Selangor


Yuran : RM966.00


No comments: