KUALA LUMPUR - "Yang untung ialah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sedangkan kami golongan usahawan yang dipelawa menyertai skim francais ini terpaksa berputih mata."
Itulah luahan seorang daripada penternak kambing di Lenggeng, Negeri Sembilan, Shahrin Nasir, 40, yang menyertai skim francais di bawah bimbingan PPK yang dinaungi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
SHAHRIN (kanan) memerhatikan kambing-kambing yang terpaksa dipulangkan kepada LPP di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Bukan dia sahaja yang menjadi mangsa malah ramai lagi penternak muda termasuk dua rakan kongsinya terpaksa gulung tikar akibat tidak terdaya untuk meneruskan sistem yang disifatkan sebagai tidak adil dan berat sebelah.
Memulakan cerita, Shahrin berkata dia dan dua rakannya memulakan ternakan kambing itu tahun lalu setelah mendapat geran daripada LPP dengan sistem kandang bawah dan 147 ekor kambing baka Boer.
"Dalam geran itu pula, mereka menyatakan bahawa segala prasarana untuk penternakan akan diberi di samping bantuan dari segi makanan tambahan ternakan itu," kata Shahrin.
Pada peringkat permulaan sememangnya seronok tetapi lama kelamaan satu persatu masalah timbul.
Antaranya, sistem yang diterapkan LPP iaitu kandang bawah tidak sesuai kerana faktor cuaca dan haiwan yang terdedah kepada penyakit seperti demam dan selesema.
Malah lebih teruk lagi, kambing yang sampai kepadanya boleh dikatakan sebahagian adalah kambing 'reject' di mana berat kambing itu hanya 15 kilogram sahaja ditambah dengan penyakit yang sedia ada pada kambing tersebut.
"PPK juga telah memungkiri perjanjian di mana mereka tidak menyediakan kemudahan prasarana seperti jalan, pam air dan parit," dakwanya lagi yang kecewa dengan sikap pengurusan PPK itu.
Tekanan yang dihadapi Shahrin dan rakan-rakannya juga sampai ke kemuncak apabila pihak LPP memberitahu mereka gagal dalam ternakan yang diberikan dan memaksa menyerahkan semula semua ternakan itu.
"Pada 1 Mei lalu,LPP memberitahu bahawa kami gagal dan salah satu sebab ialah kerana berat badan kambing itu tidak naik apabila ditimbang."
"Oleh itu mereka ambil semula ternakan tersebut," katanya yang sudah serik untuk mengusahakan ternakan kambing di bawah pengurusan LPP.
Mengenai keuntungan, katanya:"Mana ada untung, kambing pun banyak mati, keluar duit lagi adalah. Nak bagi anak-anak makan pun susah.
"Kalau kami tahu beginilah jadinya, lebih baik tak ambil geran yang diberikan itu,"jelasnya.
Tambah Shahrin, modal yang dikeluarkan untuk membeli baka pejantan juga hangus begitu sahaja bersama kambing-kambing yang dibeli dengan duitnya sendiri.
Dua lagi rakannya, Jeefri Nohamed Tahir dan Mohd. Yusof Ishak yang pernah bekerja di Kula Lumpur bercadang untuk mencari kerja semula selepas menternak di bawah skim LPP gagal.
No comments:
Post a Comment