Wednesday, August 6, 2008

77 kambing Boer lesap

Sumber : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20080806095756/Article/index_html

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my




JOHOR BAHRU: Sekumpulan penjenayah sanggup menunggu dua jam sebelum mengikat dua penjaga kandang kambing jenis Boer di Felda Ulu Tebrau, di sini, Sabtu lalu dan melarikan 77 ternakan bermutu tinggi itu serta pelbagai peralatan bernilai lebih RM200,000.


Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, sebanyak 47 ekor induk dan 30 anak kambing ‘dipunggah’ penjenayah dipercayai lebih 10 orang itu selepas memukul dan mengikat dua pekerja warga Indonesia yang ditugaskan menjaga kandang milik Berkat Usahawan Jaya itu.


Pengurus Projek ladang kambing itu, Sualman Ahmad, 48, berkata penjenayah bersenjatakan parang, pisau dan batang besi itu dikatakan memukul seorang penjaga kandang berkenaan sebelum mengikat kaki dan tangan serta menghumbannya ke dalam sebuah stor di situ.


Menurutnya, berdasarkan rentetan kejadian itu, dia percaya kumpulan penjenayah itu sudah membuat risikan terlebih dulu berhubung pergerakan dan kawalan keselamatan di kandang kambing yang diusahakan sejak November 2007 itu.

“Mereka seperti tahu terdapat dua penjaga yang bertugas di kandang kerana mereka menunggu selama dua jam untuk menangkap dan mengikat seorang lagi penjaga yang ketika itu keluar sebentar.

“Sebaik seorang lagi pekerja kandang itu pulang kira-kira jam 12 tengah malam, penjenayah terus menyerang dan mengikatnya sebelum memulakan kerja memindahkan kambing ke dalam sebuah lori,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurut Sualman, selain ternakan, penjenayah berkenaan juga melarikan sebuah mesin perancik, jenerator elektrik dan sebuah mesin pemotong rumput.Katanya, kira-kira jam 3 pagi, sebahagian daripada penjenayah berkenaan beredar dari tempat kejadian bersama hasil samun manakala selebihnya menunggu sebuah kenderaan lain datang menjemput mereka.


“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada pekerja saya, kumpulan penjenayah itu dipercayai warga tempatan berdasarkan pertuturan mereka terutama ketika mengira jumlah kambing yang dimasukkan ke dalam lori,” katanya.


Sualman berkata, beberapa minit selepas beredar, kedua-dua pekerja warga Indonesia berkenaan berjaya meloloskan diri dari ikatan dan terus menghubunginya bagi memaklumkan kejadian itu dan membuat laporan di Balai Polis Setia Indah kira-kira jam 6 pagi, Ahad lalu.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sambil meminta orang ramai tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian itu.


Nota : Pemasangan CCTV dan membeli takaful untuk setiap ekor kambing dan peralatan ini dapat mengurangkan kos kerugian dari kecurian ini.

Lagi berita kambing : http://kambing-boer.blogspot.com/2008/07/tuntutan-duit-insentif-ternakan-dari.html

No comments: