Friday, September 26, 2008

Tangki I - Cage untuk penternak keli

I - Cage untuk penternak keli (AgroBiz Online 260908)

Oleh LAUPA JUNUS


Yusra Sabar menunjukkan ikan yang diternak menggunakan sistem I-Cage

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=AgroBiz&pg=ag_01.htm

Keghairahan kepada ternakan ikan keli di kalangan masyarakat semakin melonjak ketika ini dengan adanya teknologi baru yang diperkenalkan.

Tangki kitar semula kini antara yang popular selain penggunaan kanvas bagi menyaingi kaedah sedia ada iaitu ternakan dalam tangki konkrit atau kolam tanah.

Terbaru, sebuah syarikat tempatan turut menawarkan teknologi baru dalam ternakan ikan keli, Rotocraft Technologies (M) Sdn. Bhd. (RTSB) yang menawarkan pakej jenama i-Cage.

Pakej i-Cage itu melibatkan 12 tangki ikan ternakan ikan dengan harga RM25,000 satu pakej.

Selain 12 tangki, pakej tersebut mengandungi sistem paip, sistem penapisan, tempat saluran menuai dan juga sistem pam untuk air masuk dan keluar.

Menurut Pengarah Urusan RTSB, Yusra Sabar, mereka yang berminat mendapatkan pakej tersebut bagaimanapun digalakkan menghadiri bengkel kaedah penternakan yang dikendalikan dengan rakan kongsi niaga syarikatnya, AquaBiz Sdn. Bhd.

"Syarikat ini menawarkan kursus penternakan dan juga aspek lain termasuk bekalan benih ikan keli," katanya.

Yusra berkata, setiap tangki polietilena mampu menampung kira-kira 3,000 ekor anak ikan keli bersaiz piawai tiga inci yang boleh dibeli pada harga antara 13 sen dan 20 sen seekor.

Pihaknya, menawarkan dua jenis tangki iaitu bersaiz diameter tujuh kaki yang digunakan dalam pakej tersebut manakala tangki yang lebih keci berukuran empat kaki kali enam kaki kali dua kaki enam inci ditawarkan untuk penternak bebas yang ingin terlibat dalam Program Bumi Hijau.

Beliau berkata, pakej tersebut jika berjaya, mampu mengeluarkan hasil 800 kilogram setiap tangki seberat 250 gram seekor dalam tempoh tiga bulan.

Penternak juga ditawarkan perladangan kontrak dengan sebuah syarikat lain yang membeli semua hasil yang dikeluarkan oleh penternak terbabit.

Sistem i-Cage yang ditawarkan itu bukan sahaja tahan karat dan tahan lasak tetapi juga mudah alih, memanfaatkan sistem kitaran air tertutup dan senang dikendalikan.

Bagi membolehkan ternakan lebih terjaga daripada segi persekitaran, penternak juga ditawarkan dengan penggunaan mikroorganisma efektif (EM) , anti klorin, anti bakteria dan makanan ikan Mereka yang berminat boleh menghubungi RTSB di talian 03-78452415.

Spesifikasi tangki A Saiz: Empat kaki kaki x enam x dua kaki enam inci. Bahan - politilena. Kapasiti - 1,700 liter air (500 ekor ikan) Sesuai untuk semua jenis ternakan.
Spesifikasi Tangki B Tangki bulat (pakej) -3,000 ekorlUkuran - Tujuh kaki diameter dan tiga kaki tinggi. Sesuai untuk semua jenis ikan. Kegunaan- sesuai untuk ternakan komersial.
Ciri-ciri - Mudah alih, mudah dipasang dan diselenggara.

Tuesday, September 9, 2008

Pelajari teknik pembenihan keli dari AgroHub

ARKIB : 05/09/2008 Utusan Malaysia Online -Agrobiz

AgroHUB 2008 - 2010 meneruskan agenda pertanian negara dengan menganjurkan satu Kursus Pembenihan Keli Aruhan bagi melahirkan lebih ramai usahawan benih keli berilmu.

Kursus ini dianjurkan selaras dengan konsep ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ yang memerlukan program pembangunan pertanian berterusan dan konsisten diteruskan oleh pelbagai pihak dalam usaha menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara.

Kursus Pembenihan Ikan Keli Aruhan tersebut akan diadakan pada 13 dan 14 September ini di Pusat Latihan Belia Bukit Lagong, Selayang, Selangor


Peserta berpeluang mendalami teknik pembenihan ikan keli secara aruhan pada kursus yang diadakan pada 13 dan 14 September ini.


Menurut Ketua Pengarah Projek AgroHUB Norzana Rafie, kursus tersebut diteruskan memandangkan permintaan tinggi terhadap latihan seumpamanya daripada pelbagai pihak khususnya golongan belia yang ingin menceburi industri berpotensi itu.

‘‘Selain itu, permintaan terhadap benih keli meningkat berkali ganda dan pengeluaran benih keli pada masa ini tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi,’’ katanya.

Anak benih keli yang bermutu tinggi mendapat permintaan di luar jangkaan dengan harga seekor anak benih bersaiz tiga inci semakin meningkat daripada 0.08 sen kepada 0.15 sen seekor mengikut kuantiti yang diminta.

Dalam erti kata yang lain, masa depan terhadap ikan air tawar ini dilihat semakin cerah jika dilihat kepada trend permintaan ikan keli mentah dipasaran.

Kursus pembenihan ikan keli ini akan mendedahkan kepada peserta tentang kemahiran untuk menghasilkan benih ikan keli menggunakan teknik aruhan.

Teknik aruhan merujuk kepada suntikan hormon kepada induk-induk keli di mana telur yang diperah daripada induk betina dan sperma yang dibedah dari induk jantan akan disenyawakan untuk mendapatkan benih yang maksimum dan pensenyawaan yang lebih sekata.

Menurut Norzana, bagi meningkatkan kualiti dan tumbesaran rega dan anak benih, penggunaan Bio-Aqua akan digunakan bagi tujuan tersebut.

‘‘Bio-Aqua akan bertindak balas dengan oksigen dan sebatian air untuk meningkatkan tahap imunisasi dan sistem pencernaan dan pemakanan benih ikan.

‘‘Hasilnya, tempoh tumbesaran dapat dipercepatkan dan tahap penjagaan rega dan benih ikan dapat diminimumkan,’’ ujar beliau.

Peserta juga turut didedahkan cara ternakan benih sehingga usia matang iaitu bersaiz antara dua dan tiga inci yang sedia dijual dipasaran.

Makanan rega dan benih keli bermula hari keempat sehingga tempoh satu bulan setengah turut diajar kepada peserta.

Kursus kemahiran ini menarik kerana ramai peserta-peserta lepas telah memulakan industri ini, sama ada secara kecil-kecilan atau komersial dan telah mendapat pendapatan yang lumayan dari industri ini.

Ini membuktikan industri benih keli bertepatan dengan slogan Pertanian Adalah Masa Depan yang juga merupakan moto Projek AgroHUB.

Rangkaian usahawan benih ikan air tawar di bawah Projek Ketiga AgroHUB bakal dilancarkan November ini .

Di bawah projek itu , sebanyak 300 usahawan benih keli dan lain-lain ikan air tawar bakal dibentuk secara sistematik dan berkelompok dan dapat menyumbang ke arah pembangunan industri ikan air tawar negara yang masih kekurangan benih-benih ikan air tawar untuk menampung permintaan yang tinggi dalam negara.

Paling utama, usahawan-usahawan ini perlu menjalani proses latihan kemahiran dan menandatangani kontrak sebagai peserta Projek AgroHUB 2008-2010 agar kualiti ikan yang dihasilkan dapat dipantau dan diselaraskan.

Bagi mereka yang berminat mendalami kemahiran pembenihan keli aruhan boleh mendaftar diri sebagai peserta di talian 03-6187 3796.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=AgroBiz&pg=ag_01.htm