Friday, December 21, 2007

Lembah Hijau matlamat Jamilah



Artikel ini dipetik dari Sisipan Mega Utusan Malaysia Jumaat 21.12.2007 tulisan Hashim P.Mamat.

Ladang yang dimajukan dengan tanaman sayur-sayuran, ternakan ayam dan kolam dengan menggunakan sistem kitar semula serta mesra alam menjadikannya kawasan ‘Lembah Hijau’ yang menarik.

Sekiranya terlaksana ia boleh dijadikan satu ladang contoh untuk menjadi ikutan peladang yang lain, bukan sahaja menjimatkan belanja menguruskan ladang, tetapi mengelakkan berlaku pencemaran alam sekitar.

Peladang Jaya Wanita 2006, Jamilah Ali Mohamed, 57, berkata, inilah satu harapannya dalam penyusunan program ladang seluas 116 hektar di Kampong Bekut, Sungai Siput untuk menjadikan satu realiti bukan sahaja satu impian.

Kesungguhannya dibantu sokongan suami dan anak mampu menjayakan projek-projek yang dirancang termasuk termasuk penggunaan baja organik untuk sayuran.

Mengikut perancangan Jamilah dan keluarganya, apabila semua projek yang terdiri daripada ladang sayur-sayuran, ternakan ayam daging dan ternakan ikan keli dipindahkan ke Kampong Bekut, semua bahan buangannya dapat dikitar semula sepenuhnya.

Jamilah memberitahu, penglibatan mereka dalam bidang tersebut bermula pada tahun 2000 dengan projek ternakan ayam pedaging bermula dengan 60 ekor dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Selepas itu, bilangannya ditambah kepada 200 ekor melalui modal sendiri dan 5,000 ekor lagi dari wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa bekerja di Ladang Getah di Sungai Siput.

Projek tersebut diperbesarkan lagi bantuan Bank Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Bank Rakyat berjumlah lebih RM100,000.

Kini ternakan ayam pedagingnya telah mencecah 100,000 ekor dan boleh diternak bagi semusim, menggunakan reban sistem tertutup.

Bagi ternakan ikan keli pula, ia bermula Jun 2004 dengan sembilan kolam konkrit dan empat kolam tanah dibina untuk menampung kapasiti 300,000 ekor anak ikan.

Projek tersebut juga mendapat bantuan termasuk daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Siput dan Jabatan Perikanan.

Mengikut perancangan, permindahan kesemua projek ke kampong Bekut memberikan jawapan kepada matlamatnya untuk membangunkan sebuah kawasan pertanian dinamakan ‘Lembah Hijau.’

Kawasan tersebut bakal menempatkan kolam ikan seluas 30 hektar manakala 20 hektar digunakan bagi ternakan ayam pedaging melibatkan 500,000 ekor ayam. Jumlah tersebut memerlukan pembinaan reban tertutup sebanyak 30 buah.

Selain itu, 40 hektar dikhususkan bagi tanaman sayuran terdiri daripada terung, bindi, labu, bayam, sawi, kacang panjang, kundur, petola dan timun.

Tanah seluas 20 hektar lagi akan dibangunkan dengan projek ternakan lembu tenusu, enam hektar lagi pembinaan kilang baja organik yang diikuti pembinaan pejabat bagi urusan seharian pengurusan dan urusan dengan pelanggan.

“Kami akan cuba sepenuhnya menjadikan tahi ayam dan lembu boleh diproses melalui kilang kepunyaan keluarga bagi membaja kebun sayuran. Air dari kolam ikan keli pula akan disalurkan ke kebun sayur untuk menyiram sayuran,” ujarnya.

Projek tersebut dijangka dilaksanakan mengikut jadual dalam tempoh dua setengah tahun.

Dalam pada itu, anaknya, Jaazman Aziz, 29, bekas seorang juruteknik telah meletak jawatan dari sebuah syarikat swasta turut menceburi bidang pertanian.

Jaazman mengakui anak muda sepertinya mempunyai peluang terbuka luas jika menceburi pertanian secara komersial dan menggunakan teknologi moden.

Menurutnya, buat masa ini hasil sayuran dan ternakan ikan keli dan ayam tidak menjadi masalah untuk memasarkan malahan boleh dijual di sekitar Sungai Siput dan Ipoh mengikut pasaran semasa.

Katanya, setiap bulan mencapai jualan hingga RM79,000 iaitu jualan ayam RM45,000, ikan keli RM30,000 dan sayuran RM2,000 tetapi perolehan ini akan bertambah dengan pembesaran projek seperti yang dihasratkan sebagai lembah hijau itu.

Suami kepada Jamilah, Aziz Abdullah, 63, pula sentiasa memberikan galakan dan perangsang kepada isteri dan anaknya yang berusaha untuk mencapai kejayaan dibidang tersebut.

“Saya bersyukur berkat kerja gigih kami sekeluarga selama tujuh tahun hingga kini sudah mula membuahkan hasil dan kejayaan yang dicapai akan menjadi pendorong yang kuat untuk lebih berjaya dan cemerlang,” tegasnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr. Zulkipli Idris yang melawat ke kebun sayuran milik keluarga tersebut, berasa bangga dengan pencapaian Jamilah.

Apatah lagi, mereka bukan sahaja menjadikan pertanian untuk kegunaan sendiri semata-mata tetapi juga menjadi usahawan.

Katanya, sektor pertanian berdaya maju sekiranya mereka yang terlibat berpandangan jauh dan berusaha tidak mengenal jemu.

Beliau memuji usaha keluarga peladang jaya wanita tersebut yang mahu menjadikan ladang mereka lembah hijau sebagai kawasan pertanian berdaya maju.

p/s: Saudara Ansar, lima tahun lagi mari kita buat macam ini di Kedah. Tanah, boleh pajak tanah raja. Sempat la kambing kamu berkembang biak.


Saya dengan biras sedang serius memulakan projek ternak lintah. Petang ini, kami akan buat tinjauan kos untuk membina tangki kanvas 5 X 10 X 3(tinggi) kaki. Hari ini dan esok, pekerja indon sedang menyiapkan kolam simen dua buah seperti ukuran di atas di rumahnya. Tangki kanvas ini untuk diletakkan di tepi rumah saya. Ini kerana rumah lot korner itu adalah rumah sewa. Maklumat lanjut boleh rujuk di sini. Gambar ini juga diambil dari web ini.

No comments: