Tuesday, November 6, 2007

Maju tani seiring ICT

Tarikh : 04.11.2007 (Ahad)
Sumber : Mingguan Malaysia

Maju tani seiring ICT

PROF. DR. RAMLI ABDULLAH.

Firman Allah: Bersiap sedialah kamu bagi menghadapi musuh menurut kemampuan kamu dengan segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap bersedia bagi menakutkan musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu. (Al-Anfaal: 60)
Perintah ini menghendaki umat Islam bukan sahaja bersiap sedia dari segi ketenteraan tetapi juga dalam segala hal. Ini termasuklah sektor pertanian kerana manusia perlu makan untuk hidup.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya dapat menandingi negara Barat dari segi pengeluaran produk makanan dan juga hasil ternakan.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual pakar Bioteknologi Reproduktif Haiwan, Universiti Malaya, Prof. Dr. Ramli Abdullah bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah status negara dalam sektor pengeluaran makanan kini?

DR. RAMLI: Malaysia adalah negara yang dikurniakan tanah yang subur. Pendek kata, campak saja benih di sekeliling rumah, pokok akan tumbuh, insya-Allah. Contohnya, rebung dan pucuk paku yang boleh dikutip di sekeliling kawasan rumah di kampung.
Kehijauan dan kesuburan yang dikurniakan oleh Allah ini kadang-kala menyebabkan ramai kita lupa akan kepentingan memajukan sektor pertanian. Ramai yang selesa dan beranggapan tidak perlu meneroka sektor ini. Oleh itu, tumpuan diberi dengan meluas kepada pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sektor lain.
Hakikatnya, seluruh manusia di muka bumi ini bergantung kepada makanan. Kita akan ‘bising’ apabila tidak cukup makan. Hatta, kita juga mula gelabah apabila harga barang makanan seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran naik.
Ramai yang beranggapan apabila negara sudah maju, pertanian tidak perlu lagi. Sedangkan kita masih banyak mengimport makanan termasuk daging lembu dan kambing.
Sebenarnya, inilah ‘Pelan Agung’ negara asing yang suka melihat kita dibuai pandangan begini. Tujuannya untuk melalaikan kita.
Saya melihat ini sebagai perang zaman baru yang bukan lagi mengangkat senjata sebagai mana perang konvensional tetapi lebih kepada penjajahan minda. Ini lebih bahaya.

Apakah teknologi terkini dalam bioteknologi yang terbukti berkesan meningkatkan produktiviti dan hasil ternakan dalam negara?

DR. RAMLI: Untuk mengelak negara terus bergantung kepada pihak asing terutama Barat, umat Islam mesti menguasai ilmu. Ini termasuklah ilmu dalam bidang pertanian.
Sebab itu, kita perlu betulkan persepsi mengatakan pertanian tidak penting. Sebaliknya ia harus dilihat sama penting dengan kemajuan ICT serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Kita mempunyai sumber yang banyak tetapi sayangnya kita tidak pandai mengurus. Kita memiliki kawasan tanaman hijau yang luas, kita mempunyai pelbagai haiwan ternakan tetapi kita tidak banyak mengkaji untuk memajukannya. Antara sebabnya, kita selesa kerana cukup makan.
Tetapi sebenarnya, kebanyakan makanan kita diimport dalam jumlah yang besar dan melibatkan kos yang amat tinggi. Alhamdulillah, kerajaan menyedari hal ini dan kembali meletakkan pertanian sebagai enjin pertumbuhan negara yang ketiga.
Ramai yang mempersoalkan apa perlunya bioteknologi dalam penanaman terung atau bendi, ternakan kambing, lembu dan sebagainya.
Hakikatnya, kita memerlukan bioteknologi untuk meningkatkan pengeluaran tanaman dan ternakan yang bermutu. Dan matlamat itu pula hendak dicapai dengan cepat dan banyak serta bermutu.
Contohnya, kita mempunyai kira-kira 290,000 ekor kambing dalam negara tetapi kita perlu sembelih 800,000 ekor setahun. Jadi dari mana kita hendak dapatkan bekalan ini?
Melalui bioteknologi, kita menggunakan kaedah seperti permanian beradas dan pemindahan embrio untuk menggandakan bilangan ternakan. Lama-kelamaan, masalah pergantungan daging import dapat diatasi.

Dalam kesibukan kita menjayakan hab halal, antara aspek penting yang kurang disedari oleh keupayaan pengeluar Islam membekalkan produk makanan. Apakah peranan usahawan Muslim dalam hal ini?

DR. RAMLI: Bagi menjayakan hasrat murni ini, umat Islam bertanggungjawab menerajui bidang ini. Kita tidak boleh harapkan orang lain sebab makanan halal ini adalah penting bagi umat Islam. Prosesnya adalah kompleks.
Namun, yang lebih penting lagi ialah rantaian penghasilan makanan mestilah mengikut landasan yang betul dan dibenarkan syarak. Contohnya, penghasilan daging, ia hendaklah halal bermula daripada sumber produksi dan bentuk makanan, jenis perniagaan, proses sembelihan sehinggalah daging itu sampai kepada pengguna.
Sebagai muslim, kita perlu pastikan bahawa makanan untuk ternakan lembu dan kambing itu mesti berasas benda yang halal, wang punca perniagaan juga mesti halal.
Asas utama ialah penyediaan makanan yang halal lagi baik. Makanan yang halal ialah yang suci daripada najis manakala yang baik pula ialah yang ‘cuci’ daripada segala bahan organik atau pencemaran.
Kalau makanan itu tidak halal sudah tentu ia menjejaskan pembinaan modal insan yang suci. Sebabnya bahan makanan ini menjadi darah daging kita. Makanan yang baik menyucikan hati.
Bagi saya, hati yang jernih bagi semua insan amat penting dan ini dapat menghindar daripada segala penyakit masyarakat sama ada penyakit fizikal mahupun penyakit jiwa yang berleluasa masa kini.
Rasulullah bersabda, Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati. (riwayat Muslim)
Kita juga hendaklah melibatkan petani-petani kecil di kampung dalam jaringan perusahaan tani. Apabila berjaya, jangan lupa tunaikan zakat untuk mengembalikan sebahagian hak masyarakat daripada keuntungan itu.

Apakah batas-batas yang perlu dipatuhi dalam memastikan penggunaan bioteknologi tidak menyalahi tabie, sosial dan agama?

DR. RAMLI: Yang pertama, mesti elak daripada menggunakan teknologi yang bertentangan dengan agama. Kejayaan mengklon haiwan ternakan tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mengklon manusia.
Kita juga tidak boleh menggunakan baja organik daripada binatang yang haram dimakan seperti najis babi atau bangkai.
Sebab itu, mesti ada garis panduan yang jelas dalam perkara ini. Untuk menghasilkan makanan, sumbernya mesti betul.
Jangan digunakan antibiotik dalam ternakan untuk tumbesaran yang cepat kerana ia boleh merosakkan kesihatan. Aspek keselamatan makanan perlu diberi perhatian utama.
Kita mesti perhalusi hal-hal begini. Memang susah melakukannya tetapi kita kena buat. Sensitiviti umat Islam perlu dijaga. Jangan campur tempat menyimpan makanan halal dengan yang tidak halal.

Apakah kebimbangan yang boleh membawa kepada ancaman keselamatan kepada manusia dengan pergantungan makanan ini?

DR. RAMLI: Pertanian adalah kuasa. Kalau tidak cukup makan, masyarakat akan hancur, pelbagai sengketa akan berlaku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyebut, orang Melayu jika lemah dalam pertanian akan hancurlah bangsa itu.
Lumrahnya, apabila sesebuah negara itu muncul sebagai negara pengeluar makanan pasti ada yang cemburu. Mereka ini cuba merosakkan negara tersebut.
Caranya pula bukanlah sukar. Ia boleh dilakukan melalui senjata biologi. Contohnya, mereka boleh membekalkan makanan yang tercemar sama ada oleh virus atau mutasi genetik kepada masyarakat. Inilah kebimbangan yang tidak boleh diketepikan sama sekali.
Sebaliknya, jika kita mampu mengeluarkan makanan pada tahap sara diri, kita tidak perlu rasa was-was. Lagipun makanan yang halal dan baik itu boleh dimakan oleh semua orang yang berlainan agama dan bangsa.
Sebab itu, memajukan sektor pertanian ini ada kaitan dengan maqasid syariah (matlamat pensyariatan syariat) dalam menjaga nyawa, selain agama, akal, keturunan dan harta.
Lagipun, kemajuan bioteknologi pertanian manfaatnya bukan terhad untuk pertanian sebaliknya turut meliputi bidang perubatan dan farmaseutikal.
Contohnya, dalam bidang bioorgan. Bolehkah kita memindahkan jantung kambing kepada manusia atau susu kambing diproses untuk menghasilkan insulin kepada pesakit diabetes? Proses dinamik dalam hidup ini memerlukan kepada kajian menyeluruh termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan.

No comments: