Sumber : AgroBiz Utusan Online. ARKIB : 27/03/2009
Tanam serai di tanah terbiar
Oleh AZMI ABDUL MALEK
MASALAH tanah lot terbiar yang masih belum didirikan rumah sering menjadi perbincangan hangat penduduk Bukit Meru, Taman Meru, Ipoh, Perak sejak lebih 20 tahun lalu.
Tanah terbiar ini dikatakan menjadi sarang binatang berbisa termasuk ular tedung yang kadangkala masuk ke dalam rumah penghuni di situ.
Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sering dipersalahkan apabila kakitangannya gagal memantau atau membersihkan sendiri semak-samun tanah terbiar berkenaan.
Bagaimanapun masalah ini dapat diselesaikan dengan praktikal apabila bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Mahfuz Omardi, 59, mengambil inisiatif menanam serai di tapak tanah terbiar terbabit.
Pada mulanya dia membersihkan tanah jirannya di hadapan rumahnya dan menanam serai untuk mengisi masa lapang.
Usaha itu tidak memerlukan kos yang tinggi kerana tanahnya yang sesuai, subur dan berlereng sesuai menangkis hujan lebat.
Hasil serai dijual kepada peniaga restoran tempatan dan pasar borong dengan harga antara RM1.80 dan RM2.00 sekilo.
Kini beliau berjaya menanam serai seluas 0.4 hektar di atas lapan lot tanah perumahan di Bukit Meru.
''Saya bercadang mengambil 12 lot kosong lagi untuk dimajukan setelah berjaya mendapat kebenaran daripada tuan tanah, " katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Menceritakan pengalamannya, beliau yang sudah bersara selepas bekerja di sektor awam selama 37 tahun berkata, pada pertengahan tahun lalu beliau memberitahu jiran yang tinggal di luar kawasan itu supaya membenarkan beliau membersihkan tanah mereka untuk tanaman serai tanpa dikenakan sewa.
Katanya, langkah itu mengurangkan belanja tuan tanah yang terpaksa mengupah buruh memotong rumput setiap bulan sekali gus menyenangkan kerja kakitangan MBI.
Menurutnya, cadangan itu dipersetujui tuan tanah dan beliau memulakan kerja membersihkan tanah, menanam dan membaja serai.
Ternyata usaha berjaya dan berbaloi lalu beliau melebarkannya ke tanah lot lain yang masih kosong.
Setelah mendapat khidmat nasihat rakan-rakan, beliau pergi ke Pejabat Tanah Daerah Kinta untuk mengenalpasti tuan tanah.
Hasil penyelidikan itu beliau menemui pemilik sebenar dan mereka bersetuju menyerahkan tanah untuk dimajukan dengan tanaman serai.
''Saya berjanji akan mengembalikan semula tanah terbabit sekiranya tuannya mahu mendirikan rumah pada bila-bila masa," katanya.
Setakat ini beliau berpuas hati dengan usahanya membantu penduduk tempatan dan MBI menangani masalah tanah terbiar di Taman Meru.
Selain berusaha beliau juga dapat berbakti kepada masyarakat tempatan dalam usia persaraan.
Sehubungan itu tuan tanah yang mahu menyerahkan tanah kepadanya untuk dimajukan dengan tanaman serai menghubunginya melalui talian telefon 013-4232684.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment