Friday, April 18, 2008

Pembenihan ikan keli Shahrul UM 180408

Dipetik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

Ikan air tawar rezeki baru Shahrul

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

shahrul Redzuan menunjukkan induk ikan keli yang sesuai untuk digunakan dalam proses aruhan.

Bak kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah dengan usahawan muda yang baru ‘bertatih’ ini. Walaupun baru enam bulan bergiat dalam industri pembenihan ikan air tawar - keli dan tilapia, Shahrul Redzuan Abd. Majid, 26, boleh digelar usahawan berjaya.

Selepas menghadiri kursus anjuran Perintis Agrotech Centre Sdn. Bhd. lebih enam bulan lalu, usahawan muda berkenaan tidak menoleh ke belakang lagi.

Berbekalkan pengalaman menjual telefon bimbit di salah sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur selama lebih dua tahun, Shahrul berubah arah kepada ternakan ikan air tawar - keli dan tilapia di atas tanah kerajaan di Gombak, Selangor.

“Ketika itu pendapatan hasil ternakan ikan memang menggalakkan tetapi ada kalanya saya sukar mendapatkan bekalan benih.

“Kadang-kadang saya terpaksa membiarkan kolam kosong selepas ikan habis dituai kerana putus bekalan benih,” katanya semasa ditemui di tapak pembenihan ikan air tawarnya di tanah seluas satu ekar di Telok Gong, Pandamaran, Kelang, Selangor.

Walaupun kehilangan ibu dan ayahnya semasa berusia 15 tahun ini dan meninggalkan persekolahan setakat Tingkatan Empat, bukan bererti Shahrul tidak boleh meletakkan dirinya sebagai usahawan berjaya.

Dengan galakan dan sokongan rakan sekolahnya Mohd. Alif Parjan, 25, graduan jurusan kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) - dua anak muda dengan latar belakang pendidikan berbeza ini mengambil keputusan mengusahakan industri pembenihan ikan air tawar secara kecil-kecilan.

“Walaupun saya telah menghadiri kursus selama dua hari mengenai pembenihan ikan air tawar tetapi untuk untuk mengkomersialkannya bukan semudah yang disangkakan.
“Pada mulanya saya terpaksa mencuba lebih lima kali teknik aruhan sebelum telur-telur ikan berjaya disenyawakan.

“Sampai sekarang saya tidak tahu apa silapnya tetapi sifat tidak putus asa menyebabkan saya dan Alif terus mencuba sehingga berjaya,” katanya yang memelihara 200 ekor induk keli betina.
Shahrul menambah, bagi seekor ikan keli betina yang beratnya satu kilogram boleh menghasilkan sehingga 50,000 telur untuk disenyawakan dengan kadar kejayaan hidup boleh mencapai sehingga 80 peratus.

Hanya memelihara induk betina, Shahrul membeli keli jantan dari pasar memandangkan haiwan itu akan dikorbankan semasa mengambil sperma yang terletak di bahagian tulang belakang ikan.
Bagaimanapun induk betina digunakan sekali saja kerana ia hanya akan menghasilkan telur semula selepas enam bulan.

“Sekarang ramai yang menggunakan kaedah aruhan memandangkan peratusan benih yang hidup lebih tinggi berbanding cara semula jadi,” katanya yang bergiat dalam pembenihan ikan memandangkan tidak ramai yang berminat menceburinya atas alasan kerjanya yang remeh.
Buat masa ini, Shahrul berupaya mengeluarkan sehingga 500,000 anak benih keli dan tilapia bergantung kepada permintaan pelanggan.

Jika anak benih keli dihasilkan menerusi aruhan, anak benih tilapia pula dihasilkan menggunakan kaedah inkubator bagi mendapatkan kadar hidup yang lebih tinggi.
Kaedah inkubator telah berjaya digunakan dengan jayanya bagi menghasilkan ikan tilapia yang kemudian diasuh bagi mendapatkan ikan monoseks yang lebih lebih cepat membesar dan boleh dituai.

Menyentuh mengenai pasaran, bapa kepada seorang anak ini berkata, beliau menerima tempahan daripada bekas-bekas peserta kursus dengannya yang berminat menjalankan ternakan ikan air tawar.

“Walaupun saya tidak mencari pasaran tetapi permintaan yang diterima sangat menggalakkan sehingga tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Merancang masa depan Shahrul bercadang meluaskan industri pembenihan ikan air tawar dan meneruskan kesinambungan ternakan ikan yang ditinggalkan sebelum ini.
“Dan jika simpanan saya mencukupi, insyaallah saya akan membuka kolam pancing pula,” katanya yang amat meminati industri perikanan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan bekalan benih ikan boleh menghubungi Shahrul Redzuan di nombor 019-259 2213.

Bagi mereka yang berminat menghadiri kursus teknik aruhan ikan keli atau kursus pertanian yang lain bolehlah menghubungi Perintis Agrotech Centre di 019-3311298 atau 019-6634527.

3 comments:

Aku Zen Aznee said...

a'salam , bro ada tips tak nak bela induk ,
coz saya ada simpan keli untuk buat induk usia hampir setahun , bagi makan palet je tak pernak bagi makanan lain , tapi tak de telur untuk buat aruhan , pemakanan kena cukup ker ?,, coz saya bagi makan tak ari2 jika ada kelapangan jer, and induk ni bleh ker di asuh dalam tangki

iceburn cartello said...

Assalamualaikum,
Saya adalah individu yang dilantik untuk menguruskan pertanyaan dan pendaftaran sebarang kursus dan pembelian benih ikan keli bagi pihak En.Shahrul. Sekarang En.Shahrul sudah memindahkan pusat penternakan kelinya dan menambah lebih sepuluh buah kolam 70 kaki lagi di Janda Baik, Bentong, Pahang. Perjalanan lebih kurang 30 minit sahaja dari Kuala Lumpur. Beliau sekarang menyediakan kursus pembenihan ikan keli dan juga membekalkan benih ikan keli.
Sebarang pertanyaan lanjut untuk benih ikan keli dan berkaitan kursus yg beliau anjur di Janda Baik, bolehlah hubungi saya di 017-3030433(Ahmad Fahmi).

youngerby20 said...

Call 017-2396413 kalu nak induk keli umur lebih 2 tahun yg mempunyai banyak telor matang. Berat lebih 3 kilo sekor