Sumber : http://harizamrry.wordpress.com/2008/04/25/raih-pendapatan-lumayan-hasil-ternak-lintah/
Abd. Hamid Awang Kecik menunjukkan lintah yang menghisap darah belut di dalam kolam peliharaannya di Sik, semalam.
SIK 24 April - Meskipun bidang pertanian bukan satu kerjaya yang glamor, namun ia menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup memerah keringat di bawah terik matahari dan menempuh pelbagai cabaran.
Ini dibuktikan oleh seorang petani, Abd. Hamid Awang Kecik, 65, dari Kampung Jelutong, dekat sini yang berupaya memperoleh pendapatan lebih daripada RM3,000 sebulan hasil ternakan lintah.
Menurut Abd. Hamid, bidang ternakan lintah dianggap baru dan dilihat mempunyai prospek yang cukup besar.
Katanya, lintah ketika ini menerima permintaan yang tinggi dengan harganya dikatakan antara RM1.50 hingga RM3 seekor.
“Masa depan ternakan lintah cerah kerana hidupan tersebut sering dijadikan bahan untuk produk perubatan dan kesihatan kecantikan.
“Walaupun saya baru menceburi bidang ini, namun setakat ini, ia mampu memberi pulangan lebih RM3,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abd. Hamid berkata, dia menceburi bidang ternakan lintah setelah diperkenalkan oleh kenalannya sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, tanpa mengikuti sebarang kursus, dia cuba mengusahakannya secara sendiri dengan membina kolam di belakang rumah.
“Saya memperoleh anak lintah daripada penduduk kampung dan membela sehingga besar sebelum dijual.
“Kaedah ternakan tidak begitu rumit. Kita hanya perlu menyediakan ikan belut hidup yang dimasukkan ke dalam jaring khas.
“Anak-anak lintah akan menghisap darah ikan belut terbabit dan apabila ikan itu mati, ia perlu digantikan dengan yang baru,” jelasnya.
Tambah bapa kepada enam orang anak itu, setakat ini, dia tidak menghadapi masalah dari segi pasaran memandangkan peraih akan datang membeli setiap minggu.
Katanya, setiap ekor lintah matang berukuran lima hingga 10 sentimeter dijual dengan harga RM1.50 seekor.
“Kadar ini juga bergantung kepada saiz dan kelebaran lintah berkenaan,” ujarnya.
Abd. Hamid memberitahu, dia juga bersedia membantu mereka yang berminat terutama dari segi kemahiran dan teknik-teknik tertentu dalam usaha menceburi bidang tersebut.
Katanya, orang ramai yang berminat membeli lintah atau mendapatkan khidmat nasihat boleh mengunjunginya di Kampung Jelutong, Belantek, Sik, Kedah atau menelefon 013-4332129.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment