Wednesday, May 14, 2008

Rencana BH140508 : Anak muda tetap hidup selesa hasil tanaman padi

TIDAK seperti kebanyakan anak muda lain di Pulau Pinang yang lebih berminat bekerja dalam sektor perindustrian, Hamid Mat Desa, 27, memilih haluan sendiri dengan meneruskan pekerjaan turun-temurun keluarganya sebagai pesawah.

Langkah Hamid menceburi bidang itu sejak 1999 selaras dengan hasrat kerajaan melipatgandakan usaha meningkatkan pengeluaran padi negara, lebih-lebih lagi ketika harga beras kini melonjak di pasaran dunia. Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran meningkatkan pengeluaran padi negara, daripada 72 peratus kepada 80 hingga 90 peratus pada musim akan datang.

Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import. Malaysia mengimport 30 peratus keperluan beras, iaitu kira-kira 700,000 tan setahun, sebahagian besarnya dari Thailand dan Vietnam.

Justeru, Hamid yang mengusahakan kira-kira lima hektar sawah padi di Nibong Tebal boleh berbangga ketika ini kerana beliau adalah antara penyumbang kepada bekalan beras negara. Hamid berkata, pada mulanya beliau hanya menganggap pekerjaan itu sebagai pekerjaan biasa, bagaimanapun apabila berlaku masalah kekurangan beras, pekerjaan itu dirasa begitu penting, sekali gus memberikan semangat untuk beliau supaya terus bekerja keras.

"Saya bangga menjadi pesawah kerana hasil yang diperoleh daripada kerja saya dapat membantu penduduk negara ini. Krisis makanan dan masalah beras itu memberi semangat untuk saya terus mempertingkatkan hasil tanaman padi saya," katanya ketika ditemui di Nibong Tebal. Beliau, yang pernah mendapat anugerah Peladang Muda Jaya peringkat Pulau Pinang tiga tahun berturut-turut sejak 2004 berkata, bidang pertanian mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana terbukti bahawa dengan menceburi bidang berkenaan, beliau dapat memperbaiki taraf hidupnya.

"Saya tidak setuju dengan pendapat orang bahawa kerja ini susah dan tidak memberi pulangan yang baik," katanya yang memperoleh pendapatan purata RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil daripada tanaman padi. Bapa kepada seorang anak itu berhasrat meluaskan tanaman padinya dan akan terus berusaha mencapai 10 metrik tan padi sehektar pada masa akan datang.

"Pada masa sekarang saya hanya boleh mencapai lapan tan padi sehektar kerana beberapa masalah seperti padi angin, serangan makhluk perosak seperti tikus dan siput gondang emas dan saya akan berusaha lebih gigih untuk mencapai sasaran 10 tan sehektar," katanya. Hamid yang dibantu empat pekerja mampu menghasilkan kira-kira 70 tan padi setahun.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kecewa kerana harga padi yang didakwa terlalu murah sedangkan kos pengeluaran padi semakin meningkat sehingga mencapai RM1,600 sehektar. "Pengilang membeli padi pada harga RM650 satu metrik tan. Pesawah tidak dapat pulangan yang banyak kerana kos pengeluaran meningkat berikutan harga barang seperti baja dan racun turut meningkat dari semasa ke semasa," katanya menjelaskan bahawa padi dibeli dengan harga berbeza oleh pengilang.

Pada 2006, kerajaan menetapkan harga minimum terjamin bagi padi daripada RM559 kepada RM650 satu tan. Kelmarin, Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyebut bahawa harga minimum terjamin beras dinaikkan daripada RM650 satu tan kepada RM750 satu tan. Langkah berkenaan diambil selepas kerajaan menimbangkan kepentingan semua pihak dan bagi memelihara kebajikan pengguna dan pesawah dalam isu kenaikan harga padi dan beras.

Hasil daripada usaha gigihnya, Hamid dapat membeli empat jentera pembajak yang digunakan untuk mengambil upah membajak sawah. "Ini adalah pendapatan tambahan saya. Bagi setiap musim padi, saya memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM15,000 hasil daripada upah membajak," katanya.

Selain mengusahakan sawah padi, Hamid turut mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan menternak lembu. Hamid yang mempunyai 60 ekor lembu berkata, setiap tahun beliau menjual kira-kira 20 ekor lembu dengan harga antara RM1,800 hingga RM2,500 seekor. Beliau turut menternak sembilan ekor kambing dan membina kolam ikan bagi mempelbagaikan pendapatannya.

"Saya sarankan golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan menceburi bidang pertanian kerana jika kita berusaha bersungguh-sungguh, ia mampu memberi pulangan lumayan," katanya. - Bernama

No comments: