Oleh Azman Mahmood
Pesawah terima subsidi, insentif RM2,656 sehektar: Datuk Mustapa Mohamed
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM803 juta untuk melaksanakan beberapa langkah segera bagi meningkatkan pengeluaran padi dalam jangka masa pendek, termasuk kali pertama menyediakan bantuan bekalan racun serangga dan bahan kimia. Peruntukan itu adalah tambahan daripada jumlah subsidi dan insentif padi sebanyak RM923 juta yang diluluskan tahun ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata menerusi peruntukan tambahan itu setiap pesawah secara keseluruhannya akan menerima subsidi dan insentif sebanyak RM2,656 sehektar.
Beliau berkata, RM80 juta daripada peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk bekalan racun serangga dan bahan kimia bagi membantu pesawah mengawal serangan makhluk perosak, seperti siput gondang emas, tikus, bena perang, karah, hawar dan penyakit lain yang boleh menjejas pengeluaran hasil padi. "Peruntukan racun makhluk perosak dan bekalan bahan kimia ini adalah pertama kali pernah diberi kepada pesawah secara percuma," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Mustapa berkata, kerajaan juga bersetuju menambah tiga lagi kampit baja menjadikan setiap pesawah akan menerima 24 kampit bagi setiap hektar sawah mulai tahun ini membabitkan peruntukan RM146.4 juta. Sebanyak RM97.5 juta pula akan digunakan untuk penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, manakala perataan tanah sawah sebanyak RM35 juta. Beliau berkata, menerusi langkah itu serta pembukaan jelapang padi di Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan lain di Semenanjung, pengeluaran padi negara dijangka bertambah tujuh peratus atau 170,000 tan tahun ini dan meningkat 24 peratus atau 570,000 tan menjelang 2010. "Dengan pengeluaran ini, tahap sara diri akan ditingkatkan daripada 73 peratus ketika ini kepada 86 peratus menjelang 2010," katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan langkah menangani kekurangan bekalan dan kenaikan harga beras, berkata kerajaan akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta untuk 500,000 tan beras import sebagai subsidi bagi mengekalkan harga runcit beras demi meringankan beban pengguna. Mustapa berkata, kementerian juga merancang program jangka panjang untuk meningkatkan pengeluaran padi.
Antaranya, pembangunan sumber air baru untuk mengairi sawah termasuk pembinaan kolam takungan air, telaga tiub, penyediaan lebih banyak pam air, ban penghalang banjir dan jalan ladang lebih sempurna. Kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk melaksanakan projek itu mulai tahun ini. Selain itu, masing-masing RM25 juta juga disediakan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur sedia ada di kawasan jelapang padi di Sarawak seluas 41,100 hektar dan 31,200 hektar di Sabah. "Pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk menyelaras dan memandu pelaksanaan projek berkenaan membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pertanian dan Makanan di dua negeri itu," katanya, sambil menambah peruntukan tambahan juga akan terus disediakan bagi tempoh dua tahun akan datang.
Mengenai pembelian beras dari Thailand, Mustapa berkata, kedua-dua negara sudah mencapai kata sepakat dan sebanyak 200,000 tan metrik beras akan dibekalkan segera ke Malaysia. "Mereka akan menghantar 100,000 tan metrik beras putih gred 15 peratus hancur dan 100,000 tan metrik lagi gred lima peratus hancur. "Penghantaran segera yang pertama sebanyak 50,000 tan metrik akan dilakukan dalam tempoh dua minggu, manakala bakinya diselesaikan sebelum penghujung Jun ini," katanya yang enggan menyatakan harga yang dipersetujui kedua-dua negara.
Difahamkan, harga yang diputuskan adalah sekitar AS$925 satu tan metrik. Malaysia sebelum ini meminta harga sekitar $AS850 satu tan metrik, manakala Thailand sedia menjual pada harga $AS1,000 satu tan metrik. Harga beras di pasaran dunia kini dalam lingkungan AS$1,000 (RM3,197) satu tan metrik. Lonjakan harga beras putih Thailand itu sejak sebulan lalu daripada AS$360 (RM1,145) berikutan tindakan Vietnam dan India menghentikan eksport beras akibat pengeluaran yang merosot.
Mustafa berkata, pembelian 200,000 metrik tan itu akan meningkatkan tahap stok penimbal beras negara meningkat daripada 92,000 metrik tan kepada 290,000 metrik tan. "Ini adalah simpanan strategik untuk satu bulan setengah," katanya sambil menambah bekalan beras dalam negara adalah mencukupi. Ditanya sama ada kerajaan sedia memberi lesen baru kepada pihak lain untuk mengimport beras, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji keperluan itu. Menerusi perjanjian penswastaan, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mempunyai hak monopoli mengimport beras untuk bekalan dalam negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment