Friday, May 16, 2008

Ternak kambing dalam dusun UM160508

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


Mohd. Salleh Omar menyasarkan bilangan kambingnya akan bertambah sehingga lebih 200 ekor menjelang hujung tahun ini dengan khidmat nasihat MARDI.

Saranan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) agar Mohd Salleh Omar, 69, menternak kambing Boer di dusun buah-buahannya pada 2006 tidak disia-siakan begitu saja. "Ketika itu hasil dusun dengan harga durian yang tidak begitu memuaskan ditambah dengan saingan dengan durian dari Thailand menyebabkan saya terfikir untuk melakukan sesuatu untuk meningkatkan produktiviti dusun," katanya semasa ditemui di ladang ternakan kambing SF Farm di Mukim Naga Lilit, Padang Serai, Kedah, baru-baru ini.

Pada 2006, tanah dusun yang mempunyai pelbagai jenis pokok buah-buahan mula dihuni 27 ekor kambing kacukan Boer yang 25 daripadanya berjantina betina yang diperoleh daripada MARDI. Atas nasihat MARDI, Salleh memilih menternak kambing untuk dijadikan baka memandangkan negara kekurangan baka kambing.

"Ketika itu saya teringat saranan kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan," katanya yang amat aktif menjalankan ladang integrasi.

Di dusun buah-buahan seluas 12 ekar tanah pusaka, Salleh mendirikan kandang seluas 100 kaki x 24 kaki bagi memuatkan lebih 100 ekor kambing. Kini beliau merancang membina satu lagi kandang seluas 100 kaki x 30 kaki bagi menampung bilangan ternakannya yang semakin bertambah.

Dalam masa tidak sampai dua tahun dengan pengurusan yang betul, ternakan Salleh telah bertambah kepada 121 ekor kambing tanpa mengira ternakan yang telah dijual.

"Saya menyasarkan dengan pengurusan yang betul dan khidmat nasihat yang berterusan daripada MARDI, pada penghujung tahun ini bilangan kambing akan bertambah sehingga lebih 200 ekor," katanya yang mempunyai dua orang pekerja bagi membantunya di dusun.

Kambing, kata Salleh, cepat membiak iaitu tiga kali beranak dalam masa dua tahun dan biasanya seekor induk boleh menghasilkan dua ekor anak.

Rancak bercerita mengenai ternakannya, beliau berkata kadar mortaliti atau kematian anak-anak kambingnya tidak sampai 20 peratus.

"Dengan khidmat nasihat serta bimbingan yang diberikan oleh pihak MARDI terutama Pegawai Penyelidik di Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Dr. Mohmad Mustafa, kini saya boleh menjaga kambing-kambing saya dengan baik," katanya yang mengikut segala nasihat yang diberikan.

Kini bermula jam 8.00 pagi Salleh memulakan rutin hariannya dengan memberi kambing makan rumput dan pelepah jagung yang diambil daripada kawasan berhampiran.

Sebelah petang pula kambing akan dilepaskan selama dua hingga tiga jam sehari di sekitar dusun untuk mencari makanan sendiri seperti di habitat asal mereka di Afrika Selatan.

"Setiap hari kambing akan dilepaskan selama dua jam sehari sebagai satu senaman serta mengekalkan kelakuan kambing sebagai pemakan daun tidak seperti biri-biri yang memakan rumput," katanya.

Kambing yang dilepaskan biasanya akan lebih sihat dan cergas, kurang berpenyakit serta lebih sesuai dijadikan baka.

Apabila kambing kembali ke kandang sekitar jam 5.00 petang, kambing akan diberikan makanan dalam bentuk palet selain air dan garam.

Bagaimanapun Salleh berkata, selain pengurusan ternakan, kebersihan kandang juga penting bagi mengelakkan kambing terkena jangkitan penyakit.

"Setiap hari kandang perlu dibersihkan dan setiap minggu perlu dicuci bagi mengelakkan perebakan dan jangkitan penyakit.

"Najis yang menimbun di bawah kandang akan dikumpulkan dan diproses untuk dijadikan baja yang boleh digunakan pada dusun atau dijual," katanya.

Salleh berkata, setelah menguruskan ladang integrasi lebih setahun bukan saja kambing yang mengeluarkan hasil malah produktiviti dusunnya turut meningkat.

"Jika dulu hasil dusun tidak seberapa tetapi kini saya bukan saja ternakan saya mengeluarkan hasil tetapi pendapatan hasil dusun semakin meningkat. "Kini saya dapat mengurangkan kos pembajaan kimia dan hanya menggunakan baja organik hasil najis atau tinja kambing," katanya.

Penternakan bagi tujuan baka, Salleh mengambil kira pemakanan dan penjagaan yang insentif bagi kenaikan berat badan ternakannya sehingga lebih 200 gram (g) sehari.

Dengan bantuan MARDI, Salleh berusaha melakukan saringan pemilihan bagi Boer terpilih untuk diternak sebagai baka terbaik.

Selain kambing, Salleh juga menternak ayam, itik dan angsa sebagai pendapatan tambahan hasil dusun. Justeru Salleh bukan saja mendapat pendapatan daripada kambing dan dusun tetapi juga baja hasil tinja kambing.

No comments: